'Hadiah' rumah, tanah bernilai RM100 juta kepada Najib Razak 'panaskan' Dewan Rakyat

Ridauddin Daud
November 18, 2021 17:16 MYT
RSN Rayer antara yang lantang meminta penjelasan berkenaan isu pemberian rumah dan hartanah bernilai RM100 juta kepada Najib Tun. tersebut. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sekali lagi kecoh pada sesi petang apabila lebih 10 Ahli Parlimen pembangkang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pemberian rumah dan hartanah bernilai RM100 juta sebagai ‘hadiah’ kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Isu tersebut dibangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad (PH - Langkawi) yang meminta penjelasan apa gunanya duit kerajaan diberi kepada Najib yang beliau sifatkan sebagai ‘banduan’, ‘penyangak’ dan ‘pencuri’.
Tegas beliau, hadiah itu diberikan sebagai jasa Najib sebagai Perdana Menteri, namun Dr Mahathir mempersoalkan apakah jasa Ahli Parlimen Pekan itu kerana menurutnya, Najib adalah banduan.
“Inikah jasa yang kerajaan ini nak balas budi? Yang kerajaan nak beri? Perdana Menteri akan datang selepas ini akan curi duit sebab lepas curi duit, dapat tambah duit lagi dan duit yang dicuri pun diberi semula.
“Ini kerajaan baharu dan dasar baharu, sepatutnya dijelaskan dalam Bajet tentang hadiah ini. Saya sendiri jadi Perdana Menteri 22 tahun, saya tak ambil satu keping tanah pun. Saya cuma ambil pencen, itu sahaja.
“Tapi ini buat kerja sekian lama curi duit, seleweng duit, salah guna kuasa, oh, bagi hadiah dengan nilai RM100 juta pula,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Kementerian Kewangan daripada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.
Tengku Zafrul dalam jawapannya mencadangkan supaya soalan itu dipanjangkan kepada Jabatan Perdana Menteri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.
Tambah beliau, permohonan itu juga dibuat selepas pembentangan Bajet 2022 dan kerana itulah, ia tidak dimasukkan dalam pembentangan baru-baru ini.
Begitupun, beberapa Ahli Parlimen tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut dan mahukan penjelasan adakah permohonan itu telah diluluskan atau tidak.
“Saya kata permohonan ini, seperti saya sebut tadi, ia tiada dalam Bajet kerana ia dibentangkan sebelum permohonan tersebut.
“Untuk laksanakan ini, ia akan dibawa sebagai Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan di Parlimen nanti,” ujarnya.
Sebaik sahaja jawapan itu keluar dari mulut Tengku Zafrul, Datuk Mahfuz Omar (PH - Pokok Sena) dan RSN Rayer (PH - Jelutong) bangun dan menyatakan permohonan itu telah diluluskan sebab itu akan dibawa ke RUU Perbekalan Tambahan.
Pertikaman lidah berlanjutan selama lebih 10 minit sebelum Speaker, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengarahkan semua Ahli Parlimen duduk sebelum Tengku Zafrul menyambung semula penggulungan.
Begitupun, ia tidak reda di situ apabila selepas kira-kira 10 minit, Dewan Rakyat kembali kecoh selepas isu sama dibangkitkan sekali lagi.
#Mahathir Mohamad #Najib Razak #rumah dan tanah #Dewan Rakyat
;