'Hadiah paling bermakna' - Lelaki derma buah pinggang buat bapa
Keluarga
Mac 16, 2022 10:42 MYT
Mac 16, 2022 10:42 MYT
PENGORBANAN seorang anak, sanggup mendermakan buah pinggangnya kepada ayah meraih perhatian warganet.
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh individu yang dikenali sebagai Sharul Ezwan menerusi kumpulan Facebook rasmi Persatuan Sokongan Transpan Buah Pinggang Malaysia.
Dia membuka kisah awal di mana ayahnya menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap lima (end stage renal failure) yang memberi maksud buah pinggang tersebut gagal berfungsi sepenuhnya.
Ujarnya lagi, pemindahan buah pinggang untuk ayahnya merupakan hadiah paling bermakna dan berharga yang pernah dia berikan kepada insan istimewa ini.
“Ayah yang tidak pernah mengenal erti penat membesarkan kami. Terima kasih ayah membesar dan mendidik kami semua. Semoga dengan pengorbanan ini memberi makna erti kehidupan dan sinar baharu untuk Ayah.
“Pemindahan buah pinggang ini dibuat tiga tahun yang lalu. Setelah melalui pelbagai peringkat saringan, akhirnya pada 14/03/2019 saya telah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang untuk ayah.
“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Sekarang ayah dah sihat kembali seperti biasa. Dah boleh buat aktiviti harian seperti biasa. Tidak perlu lagi dialisis.
“Alhamdulillah terima kasih Allah atas segala nikmat. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada isteri dan keluarga yang sangat membantu selepas pembedahan tersebut berlangsung.
* Artikel asal disiarkan di Keluarga.