Hadiah Kewartawanan Malaysia: Astro AWANI rangkul tiga emas, satu gangsa
Nickyson Nyambar
Jun 24, 2022 22:39 MYT
Jun 24, 2022 22:39 MYT
KUALA LUMPUR : Malam Hadiah Kewartawanan Malaysia-Malaysia Press Institute (MPI)-Petronas 2022 menjadi malam yang cukup bermakna buat wartawan Mohammad Hilmi Ab Malik dan jurukamera Mohd Sallehin Hussain selepas terpilih sebagai pemenang salah satu kategori yang dipertandingkan.
Laporan cemerlang mereka dalam liputan mengenai 'Kajang Bypass' merangkul emas dalam kategori Berita Video Terbaik membolehkan mereka membawa pulang RM10,000, trofi dan sijil
"Sebagai wartawan, satu kepuasan bagi saya adalah apabila kita berjaya membantu rakyat menyelesaikan isu yg berbangkit menerusi platform yang kita ada.
"Apabila media meletakkan peranan di tempat yang sepatutnya maka tidak mustahil media di Malaysia mampu menjadi sumber rujukan utama orang ramai.
"Apa pun saya bersyukur atas anugerah ini kerana secara tidak langsung akan menjadi pencetus semangat untuk kita terus berkarya dalam membawa apa jua isu pada masa akan datang.
"Terima kasih juga kepada Astro AWANI kerana sentiasa membuka ruang dan peluang untuk wartawan tampil dengan idea tersendiri," kata Mohammad Hilmi.
Selain kategori Berita Video Terbaik, kecemerlangan Astro AWANI dalam Malam Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI turut dikongsi dalam kategori Esei Foto Cemerlang yang dimenangi oleh jurufoto, Muhammad Shahir Omar.
Kemenangan beliau membolehkannya membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil.
Kemenangan emas ini tidak terhenti di situ, malah Astro AWANI terus melakar sejarah buat pasukan Astro AWANI dalam kategori Penulisan Kolum atau Rencana Pengarang Cemerlang oleh Dr Azlinariah Abdullah menerusi penulisan berjudul Sifat Memoir dalam 'My Story': Justice in the Wilderness, sisi luka perang di Afghanistan tinggalan Amerika, tentang pelarian, perihal menulis untuk mewarnai kehidupan.
Manakala, bagi kategori Kewartawanan Multimedia Cemerlang, Astro AWANI merangkul gangsa menerusi kerjasama Zaireen Aliza Muhamad Zohadi, Faizan Che Ani, Mohd Fazil Che Ani dan Abdul Hasib Jahidin.
Mereka membawa pulang RM1,000 beserta sijil.
Seperti sebelum ini, edisi kali ini juga berlangsung serentak dengan Malam Wartawan Malaysia, menyaksikan 15 kategori dipertandingkan, termasuk dua anugerah khas.
Bingkisan Laporan Khas Kajang Bypass: Lebuh raya atau pusara? oleh Mohammad Hilmi Hj Ab Malik.