Hadiah bekas Presiden Indonesia beri inspirasi dirikan taman burung merak

Bernama
Julai 29, 2021 09:41 MYT
D.Paranthaman ketika bersama sebahagian burung-burung merak kesayangannya. - Foto BERNAMA
BUTTERWORTH: Bermula dengan 10 ekor burung merak yang dihadiahkan oleh bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono hampir sedekad yang lepas, seorang pencinta burung di sini, kini memiliki 200 ekor burung merak dan memasang impian untuk memiliki taman burung merak sendiri.
D.Paranthaman, 45, berkata ia bermula ketika beliau bekerja di ladang kelapa sawit di Kalimantan, Indonesia pada 2004 dan menyertai pasukan sukarelawan untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa apabila bencana tsunami melanda Aceh pada hujung tahun tersebut.
"Sebagai tanda penghargaan kerana menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa bencana, presiden Indonesia menghadiahkan saya 10 ekor burung merak yang dihantar ke Malaysia pada 2012," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau telah membina sebuah sangkar berhampiran dengan rumahnya di Taman Kimsar di sini, bagi menempatkan burung-burung tersebut.
"Itu adalah titik permulaan dalam perjalanan saya memelihara burung merak secara serius. Pada 2013 saya telah menyertai kursus penjagaan burung merak selama sembilan bulan di sebuah Pusat Penjagaan Unggas di Bangalore, India," katanya yang bekerja sebagai perunding burung dengan memberi khidmat nasihat di beberapa resort di negara ini.
Paranthaman berkata beliau mempunyai 200 ekor burung merak pelbagai jenis termasuk burung merak albino, burung merak India, burung merak campuran Jawa dan Belgium, serta burung merak Pied dan Black Shoulder dari Sepanyol.
Beliau juga membelanjakan kira-kira RM2,800 setiap sebulan untuk membeli keperluan burung-burung berkenaan termasuk makanan dan ubat-ubatan.
"Impian saya untuk mendirikan satu taman burung merak dan sebuah kolam bunga teratai di tanah lapang berhampiran rumah," katanya yang turut membina sebuah makmal di dalam rumahnya bagi merawat burung merak yang sakit.
Beliau berkata impian tersebut bakal direalisasikan tidak lama lagi hasil bantuan kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, P. Ramasamy sebanyak RM300,000 untuk membina Perai Peacock Echo Park.
Paranthaman berkata pembinaan taman itu masih dalam peringkat awal, selain merancang untuk mendirikan sebuah kedai cenderahati burung merak dengan hasil jualan akan digunakan bagi membiayai kos memelihara burung merak.
-- BERNAMA
#Perai Peacock Echo Park #Burung merak #Taman Burung #ladang kelapa sawit #Kalimantan #Susilo Bambang Yudhoyono
;