Hadiah Aidilfitri untuk Erwan, rumah penuh sampah sudah dibaik pulih

Aida Aziz
April 1, 2024 07:30 MYT
Erwan bersama dua ekor kucing peliharaannya kini berpeluang hidup selesa selepas kediamannya selesai dibaik pulih.
IPOH: Tiada lagi sampah yang menimbun, juga air yang melimpah dari pintu masuk menuju ke ruang tamu, pendek kata rumah ini sudah sesuai diduduki.
Tinjauan di rumah Flat Taman Silibin yang sebelum ini tular dengan kisah dua beranak hidup dalam sampah, najis, akhirnya sudah dibaik pulih.
Tambahan pula ketika umat Islam akan menyambut Syawal tidak lama lagi.
Difahamkan rumah ini sudah selesai dibaik pulih dengan bantuan dana dari Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia, Ipoh.
Walaupun bukan rumah baharu, namun bantuan baik pulih ini sangat bermakna berbanding situasi sebelumnya, yang sungguh tidak layak dihuni manusia.
Kesihatan Erwan Dahari juga semakin baik dengan imejnya yang lebih terurus dan kemas, malah dia turut mengakui dalam proses kaunseling selain mengambil ubat di hospital.
Bagaimanapun, Erwan berkata, dia agak terkilan kerana arwah ibunya tidak sempat melihat rumah yang sudah dibaik pulih, di samping menyambut Ramadan serta Syawal bersama.
"Tujuh tahun saya menetap di sini dengan arwah mak, memang rasa kehilangan sebab setiap kali raya sebelum ini dia ada walau susah senang.
"Saya nak beli baju raya untuk dia tahun ini, tapi tak sempat sebab dia pergi dulu sebelum Ramadan.
"Raya tahun ini saya akan sambut dengan kakak dan adik beradik lain. Kakak di Kuala Lumpur ada janji datang sini dan beraya sama di kampung.
"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada bawa saya ke hospital ambil ubat. Bila konsisten makan ubat, Alhamdulillah kemurungan semakin baik," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Puteri Kebajikan Negeri Perak, Wan Noorashikin Noran berkata, dengan bantuan baik pulih itu, Erwan dapat hidup lebih selesa.
"Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia, Ipoh ada hubungi saya untuk salur bantuan yang perlu, setelah kerja baik pulih ini, tandas yang tersumbat serta perkakas yang rosak akhirnya berfungsi.
"Saluran air dan elektrik pun sudah elok, dapatlah Erwan jaga kebersihan rumah dan dirinya. Ramadan dan Syawal kali ini lebih bermakna untuk dia.
"Seperti yang kita maklumkan sebelum ini, kita tidak boleh pindahkan dia ke rumah baharu memandangkan kucing peliharaan yang banyak dan dia memang tidak boleh berenggang dengan kucingnya.
"Kita faham banyak pihak yang enggan menyewakan rumah memandangkan keadaan Erwan sedemikian rupa, jadi kita baik pulih rumah sedaya mungkin.
"Hampir RM5,000 kos untuk baik pulih rumah ini yang ditanggung oleh pihak berkenaan, mereka juga ada buat ruang untuk diletakkan kucing di bahagian dapur," katanya.
Wan Noorashikin berkata, pihaknya juga akan membuat pemantauan berkala di sini, di samping bantuan daripada jiran di flat tersebut.
Nursuraya Abdullah dan Samsurina Darus yang merupakan jiran Erwan juga antara individu yang sering memantau keadaan dua beranak itu sebelum ini.
"Alhamdulillah, keadaan Erwan semakin baik, kami akan lihat apa yang patut untuk pastikan keadaan dulu tidak berulang, tahun ini Erwan dapat beraya di rumah yang lebih elok," kata Nursuraya.
Sebelum ini, media ada melaporkan mengenai nasib dua beranak yang hidup dalam rumah yang dipenuhi sampah sarap termasuk takungan najis bertahun lamanya.
Dilaporkan keadaan semasa memaksa Erwan, 46, berhenti kerja untuk menjaga ibunya Miram Kadir, 77, yang uzur.
Setelah berita itu tular, banyak pihak hadir tampil memberi bantuan, termasuk membersihkan sampah sarap di dalam rumah itu.
Februari lalu, Miram atau dikenali sebagai opah meninggal dunia dalam tidur di kediaman anak perempuannya di Flat Ashby Road, di sini.
#hidup dalam sampah #tandas tersumbat #Flat Taman Silibin #takungan najis
;