Hadi sokong Mahkamah Syariah Kelantan laksana Hudud
Arfa Yunus
November 22, 2013 15:59 MYT
November 22, 2013 15:59 MYT
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong penuh kesediaan pihak Mahkamah Syariah Kelantan untuk melaksanaan hukum hudud di Kelantan.
"Sudah tentu saya sokong penuh inisiatif ini. Kami turut mengadakan dialog dalaman untuk membahaskan usul ini," kata Hadi dalam sidang media semasa Muktamar PAS yang diadakan di Shah Alam hari ini.
Apabila ditanya mengenai kesediaan pihak DAP untuk menerima cadangan pelaksanaan hudud ini, beliau berkata PAS akan terus berusaha untuk memberi pemahaman kepada DAP untuk menerima cadangan tersebut.
"Sejak 1990 dialog mengenai hudud sentiasa diadakan dan DAP sentiasa hadir. Yang tidak hadir cuma UMNO," tambah beliau.
Sebelum ini Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad menyatakan negeri itu sudah boleh melaksanakan hukum Hudud kerana telah mempunyai prasarana yang mencukupi.
Walaubagaimanapun kemudiannya Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, untuk melaksanakan undang-undang Hudud, Kelantan perlu mewujudkan mahkamah khas bagi membicarakan kes berkaitan undang-undang itu.
Dalam kenyataannya sebelum ini beliau berkata satu perbincangan akan diadakan antara Disember tahun ini atau Januari tahun hadapan
Perbincangan tersebut akan diadakan bersama pakar perundangan, hakim serta pengamal undang-undang mengenai apa yang perlu dibuat kerajaan negeri sebagai persediaan awal terhadap pelaksanaan hukum hudud.