Hadi: PAS bukan penumpang dalam Pakatan Rakyat

Irwan Muhammad Zain
November 22, 2013 05:37 MYT
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. -gambar fail
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan parti yang dikepalainya bukan 'penumpang' dalam Pakatan Rakyat.
Sebaliknya Abdul Hadi menjelaskan semua parti dalam Pakatan Rakyat mempunyai peranan yang sama penting dalam membawa persefahaman politik.
"Ingatlah kita bukan penumpang semata-mata, rakan-rakan kita juga bukan penumpang, tetapi semua parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah penggerak bersama untuk memperkukuhkan peranan dalam membawa persefahaman politik," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-59 di sini, hari ini.
Abdul Hadi menegaskan bahawa kesemua sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat mempunyai peranan yang sama dalam menentukan hala tuju kerjasama politik yang dijalinkan.
Pada sidang media selepas merasmikan muktamar, Abdul Hadi sekali lagi menegaskan perkara yang sama.
"Kita (PAS) satu taraf dalam Pakatan Rakyat, tidak ada pihak yang lebih," katanya.
Penegasan Abdul Hadi dilihat sebagai pendirian PAS mengenai kedudukan parti itu dalam pakatan pembangkang selepas Dewan Ulama dan Dewan Pemuda masing-masing meluluskan usul untuk mengkaji 'tahaluf siyasi' dalam pakatan pembangkang.
#Abdul Hadi Awang #Muktamar Tahunan PAS ke-59 #Pakatan Rakyat #Presiden Pas