Hadi Awang serah laporan mengenai Timur Tengah kepada Perdana Menteri

Bernama
Ogos 26, 2020 23:19 MYT
Abdul Hadi berkata, laporan tersebut turut mengandungi beberapa syor dan agenda bertindak, khususnya dalam usaha menarik pelaburan dari Timur Tengah pada pasca COVID-19. - ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyerahkan Laporan Eksekutif kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang antara lain menerangkan situasi terkini politik dan ekonomi di rantau itu serta impak terhadap kepentingan Malaysia.
Abdul Hadi, dalam hantaran di laman Facebook beliau, berkata ia juga bertujuan menggariskan peluang kerjasama dalam bidang agama Islam, pelaburan, perdagangan dan pendidikan selaras dengan kepercayaan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.
"Laporan tersebut turut mengandungi beberapa syor dan agenda bertindak, khususnya dalam usaha menarik pelaburan dari Timur Tengah pada pasca COVID-19 yang perlu disegerakan, seterusnya memanfaatkan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang demi kebaikan Malaysia, umat Islam dan dunia keseluruhannya.
"Saya turut berkongsi hasil pertemuan dengan enam duta kepada negara-negara Timur Tengah di Malaysia iaitu Arab Saudi, Yaman, Qatar, Iran, Oman dan Afganistan serta beberapa negara lain yang sedang diatur," katanya.
Beliau berkata pertemuan itu adalah bagi mendapatkan maklum balas langsung serta mengeratkan hubungan dua hala melibatkan kerjasama dalam bidang pelaburan, perkongsian pintar dan kestabilan politik.
-- BERNAMA
#Abdul Hadi Awang #agenda #Arab Saudi #ekonomi #Facebook #Iran #Islam #Muhyiddin Yassin #pelaburan #pendidikan #Qatar
;