Hadi Awang sedang terima rawatan, anak mohon doakan kesembuhan

Astro Awani
Julai 1, 2023 08:20 MYT
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut di hospital susulan keadaan kesihatan yang sedikit merosot. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan sedang menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital susulan keadaan kesihatan yang sedikit merosot.
Perkara itu dimaklumkan anaknya, Muhammad Khalil menerusi perkongsian di Facebook pada Sabtu.
Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk turut meminta orang ramai mengadakan solat hajat dan mendoakan Ahli Parlimen Marang itu diberikan kesembuhan segera.
"Malah kehadiran Ayahanda ke pelancaran jentera pilihanraya DPPN Terengganu tempoh hari sudah pun dalam keadaan keuzuran, namun tetap digagahkan dirinya.
"Semoga Allah mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada Ayahanda Tuan Guru, berkat doa yang dipanjatkan oleh kita semua," ujarnya.
Terdahulu, Hadi Awang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada Jun.
16 Feb lalu, Abdul Hadi dikejarkan ke Hospital Putrajaya setelah mengalami sesak nafas sebelum dirujuk ke IJN.
#Abdul Hadi Awang #rawatan #Muhammad Khalil #Hospital
;