Hadi Awang hadir ke Bukit Aman, selesai beri keterangan

Astro Awani
Ogos 29, 2022 15:03 MYT
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir memberi keterangan berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman berkaitan isu rasuah, baru-baru ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir memberi keterangan berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman berkaitan isu rasuah, baru-baru ini.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner A Skandaguru berkata, Ahli Parlimen Marang itu yang hadir bersama peguamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang sesi rakaman keterangan berlangsung pada Isnin.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.
BACA: Polis siasat Abdul Hadi berhubung kenyataan berbaur perkauman
Terdahulu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional dipanggil ke Bukit Aman susulan 28 laporan polis ke atasnya berhubung isu yang menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.
Media tempatan melaporkan Abdul Hadi ada menyebut bahawa memilih pemimpin yang tidak berintegriti dan mengamalkan rasuah adalah suatu bentuk perbuatan khianat yang akan menghancurkan negara serta dunia
Katanya, pemimpin yang tidak berintegriti akan menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.
Tambah Abdul Hadi, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera.
#Abdul Hadi Awang #Bukit Aman #Polis Diraja Malaysia #PAS #Presiden Pas #PDRM #Ahli Parlimen Marang