Hadi Awang dibenar keluar hospital
Bernama
Julai 2, 2023 17:50 MYT
Julai 2, 2023 17:50 MYT
KUALA TERENGGANU: Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam, telah dibenarkan pulang ke rumah pada jam 2 petang tadi.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman, ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, dimasukkan ke wad semalam disebabkan demam dan bukannya masalah jantung, seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Saya dan beberapa Exco negeri serta pimpinan PAS Terengganu ada melawat beliau tengah hari tadi. Keadaan beliau baik dan doktor telah memberi pelepasan (Abdul Hadi) pulang pada jam 2 petang tadi.
"Sebentar tadi pun saya telah hubungi keluarga tuan guru dan dimaklumkan beliau sudah tiba di rumahnya di Rhu Rendang (Marang)," katanya.
Semalam, kesihatan Abdul Hadi dilaporkan merosot dan terpaksa dimasukkan ke wad HSNZ bagi mendapatkan rawatan.
-- BERNAMA