Had waktu main bunga api, hanya pada musim perayaan - Lee Lam Thye

Hasimi Muhamad
Februari 5, 2023 15:19 MYT
Penjualan mercun perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan agensi kerajaan yang terlibat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pembakaran bungi api dan mercun perlu dihadkan tidak melebihi pukul 12 tengah malam bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna.
Selain itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penjualan mercun perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan agensi kerajaan yang terlibat.
Menurut beliau, garis panduan itu penting bagi memastikan situasi menang-menang antara penjual mercun dan orang awam susulan keputusan kerajaan yang mahu membenarkan aktiviti pembakaran serta penjualan bungai api dan mercun dalam masa terdekat.
"Perlu untuk menghadkan masa menggunakan mercun, maksud saya ialah kita tidak boleh membenarkan permainan mercun atau bahan api sepanjang tahun, itu adalah logik dan hanya pada perayaan tertentu.
"Syarat-syarat boleh diwujudkan dan semua pihak yang ingin bermain mercun dikehendaki mematuhi undang-undang tersebut. Saya rasa juga mercun tidak boleh dimainkan melebihi sesuatu waktu. Misalnya, saya ada terima pandangan daripada orang ramai, ada pihak yang bermain mercun sehingga waktu melebihi 12 tengah malam. Ini sesuatu yang kita kena cegah.
"Ketiga, mercun hanya boleh dimainkan di kawasan yang sesuai seperti kawasan lapang dan kurang penghuni. Ini sangat penting kerana kita nak mengelakkan sesuatu tidak diingini berlaku," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
Lam Thye menambah dasar yang akan dilaksanakan kelak perlu berkesan untuk mengekang kegiatan penyeludupan dan mengambil kira kualiti bahan api dan mercun.
Jelas beliau lagi, garis panduan yang dilaksanakan juga perlu seiring dengan pemerkasaan penguatkuasaan.
"Penguatkuasaan amat penting apabila garis panduan telah dilaksanakan dan kita mesti ada mekanisme yang kukuh untuk menguatkuasakan agar semua yang diwajibkan ini boleh mematuhinya.
"Selain itu, saya perhatikan pada musim perayaan, ada remaja atau anak-anak bermain mercun. Aspek keselamatan mereka adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian berat oleh ibu bapa.
"Garis panduan yang dilaksanakan nanti harus disebarkan secara meluas kepada lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa yang mesti mengawasi anak mereka yang nak bermain mercun. Ibu bapa mesti bersama agar aspek keselamatan tidak diabaikan dan dilaksanakan," kata Lam Thye.
#Kebenaran main bunga api #keselamatan #mercun #perayaan #Lee Lam Thye
;