Had umur belia berubah, apa seterusnya?
Hakim Rahman
Julai 10, 2019 12:00 MYT
Julai 10, 2019 12:00 MYT
RANG Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668 antara lain melibatkan penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun mengundang reaksi pelbagai.
Ada yang mahu mengekalkan takrifan berkenaan sehingga ia dikuatkuasakan pada 31 Disember 2021 bagi memberi ruang penyelarasan teknikal dan sesi penerangan kepada akar umbi.
Apa Yang Berlaku
• Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668).
• RUU itu diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selepas ia dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Apakah Pindaan Akta 668
• Pindaan Rang Undang-Undang yang diluluskan menurunkan had umur maksimum belia dari 40 tahun kepada 30 tahun.
• Tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan belia tidak lebih dua penggal iaitu dari 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.
Mengapa orang muda perlu peduli
• Pelaksanaan RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668) dibimbangi akan menafikan hak belia yang baru memulakan perniagaan untuk mendapatkan bantuan kewangan.
• Belia yang ada sekarang secara automatik tidak layak menikmati pelbagai skim latihan, bantuan pinjaman dan geran yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu golongan belia.
• Antaranya, Skim Keusahawanan Belia Sabah yang meletakkan syarat kelayakan permohonan kepada mereka yang berusia sehingga 35 tahun.
• Penurunan takrifan umur belia juga dikhuatiri akan mengakibatkan kelompongan pemimpin pelapis berkebolehan memimpin pertubuhan belia dengan efektif.
• Dari sisi lain, penurunan had umur belia itu memberikan peluang dan ruang yang lebih besar kepada generasi yang berumur di bawah 30 tahun menerajui pimpinan dan mencorak masa depan negara.
• Langkah itu juga mempercepatkan proses peremajaan pimpinan negara dengan melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis untuk menerajui pertubuhan belia.