Had tempoh PM kepada 10 tahun: Cipta peluang pemimpin baharu, persaingan lebih sihat
Shafiqa Azami
Mac 18, 2025 19:19 MYT
Mac 18, 2025 19:19 MYT
Muhammad Faisal berkata, negara akan menyaksikan tiada lagi elemen cantas-mencanta, sebaliknya hanya kefahaman bahawa Perdana Menteri akan ditukar setiap 10 tahun. - Foto: Sinar Harian
KUALA LUMPUR : Cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun memberi ruang kepada persaingan politik yang sihat.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata, negara akan menyaksikan tiada lagi elemen cantas-mencanta, sebaliknya hanya kefahaman bahawa Perdana Menteri akan ditukar setiap 10 tahun.
“Kita tidak akan lagi melihat kerajaan yang akan mentadbir pemerintah selama 20 tahun ataupun lebih 10 tahun maka pimpinan-pimpinan baharu, sama ada di dalam parti yang sama ataupun parti yang berlainan akan memiliki hak untuk bersaing dengan sihat.
“Maka ia akan mencetuskan satu yang baik dalam konteks persaingan politik tidak ada lagi elemen-elemen yang saya fikir saling cantas-mencantas, sebaliknya ada kefahaman bahawa Perdana Menteri itu akan ditukar," kata Muhammad Faisal, dalam temu bual racangan Pantau Agenda Astro AWANI pada Selasa.
Tambah beliau, had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan membuka ruang kepada pemimpin politik muda untuk ke hadapan. Secara tidak langsung, ia memupuk politik yang lebih sihat kerana persaingan akan terbuka kepada pemimpin baharu untuk menggantikan Perdana Menteri.
Dari segi penyelewengan pula, had tempoh itu dapat mengurangkan risiko salah guna kuasa secara berperingkat.
“Masalah berlaku apabila Perdana Menteri itu memegang jawatan begitu lama, lebih 10 tahun, secara tak langsung dia akan meletakkan akar pengaruhnya di peringkat demokrasi. Berlakunya kronisme, berlakunya autodeterminisme, berlakunya kuku besi, penindasan terhadap lawan politik dalam parti sendiri," jelasnya.
Tanpa tempoh had tersebut juga, kata Muhammad Faisal, akan menyebabkan berlakunya dominasi individu dalam politik yang seolah-olah dia lebih berkuasa daripada segala-galanya.
Justeru sindrom politik tepu ataupun burnt out menyebabkan parti ataupun negara tersebut tidak lagi relevan kerana tidak dapat melihat ruang-ruang perubahan yang baharu kerana tidak ada muka baharu menggantikan kepimpinan yang baru menggantikan Perdana Menteri.
"Hal ini akan memberi kesan kepada masyarakat, yang mungkin merasakan wujudnya autoritarianisme apabila seorang Perdana Menteri memegang jawatan terlalu lama. Ia boleh mewujudkan culture of fear atau budaya takut dalam kalangan parti politik dan rakyat, sehingga menghalang mereka daripada berani mengkritik pemerintah.
"Keadaan ini seterusnya boleh mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat sivil, sekali gus menyekat kebebasan mereka untuk bersuara dan menyatakan bantahan terhadap pemimpin," katanya.
Muhammad Faisal menegaskan bahawa pemimpin harus melahirkan pemimpin baharu agar selari dengan generasi semasa. Beliau menekankan bahawa kepimpinan, politik, dan sosial sentiasa berubah, maka ruang perlu diberikan kepada pemimpin baharu dengan idea segar yang sesuai dengan zaman.
Tambahnya, seorang Perdana Menteri yang baik ialah yang berjaya melahirkan pengganti berkualiti untuk meneruskan legasi kepimpinan yang positif.
#Had Perdana Menteri
#pemimpin baharu
#persaingan positif
#politik
#pentadbiran negara
#Mohamad Faisal Abdul Aziz