Had tempoh letak kereta di CBD bermula 16 Julai - Tengku Adnan
Bernama
Julai 2, 2016 17:08 MYT
Julai 2, 2016 17:08 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengehadkan tempoh meletak kenderaan sehingga maksimum dua jam di kawasan terbuka sekitar kawasan perniagaan dan tarikan utama (CBD) di ibu negara mulai 16 Julai ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kadar bayaran untuk meletakkan kenderaan ditetapkan RM2 bagi sejam pertama dan RM3 untuk jam berikutnya.
"Sekiranya tempoh dua jam itu tamat, DBKL akan menyita terus kenderaan itu dari kawasan CBD seperti Bukit Bintang, Imbi dan KLCC dan dibawa ke depoh kenderaan DBKL.
Selain CBD, kawasan seperti Bangsar, Sri Hartamas dan Kepong akan turut melaksanakan sistem itu," katanya pada sidang media selepas merasmikan terowong kedua di Jalan Tuanku Abdul Halim (Jalan Duta) ke Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru) di sini hari ini.
Tengku Adnan berkata langkah itu dapat mengurangkan kemasukan kenderaan ke kawasan kesesakan tinggi serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam untuk masuk ke kawasan bandar.
Tengku Adnan berkata lebih banyak papan informasi elektronik mengenai jumlah petak letak kereta akan disediakan di kompleks-kompleks letak kereta untuk kemudahan warga kota.
"Sekarang kami masih dalam fasa terakhir untuk menaik taraf dan menambah papan info itu. Ia dijangka siap Ogos ini," katanya.
Dalam ucapan perasmiannya, Tengku Adnan berkata pembukaan terowong kedua di Jalan Tuanku Abdul Halim ke Lebuhraya Sultan Iskandar dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak.
Katanya, projek bernilai RM45 juta itu mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan yang dibiayai sepenuhnya kerajaan pusat.
Panjang terowong di bawah jalan susur dari Jalan Parlimen ke Jalan Tuanku Abdul Halim adalah 20 meter dan lebar 10 meter, manakala panjang terowong di bawah Lebuhraya Sultan Iskandar adalah 50 meter dengan lebar 10 meter.