Had PGK baharu: UNDP puji Malaysia, tetapi...

Isabelle Leong
Julai 12, 2020 06:49 MYT
NILOY: Bagaimana kami dapat menjaga mereka yang tidak mampu menjaga diri sendiri atau tidak mampu bersaing dalam ekonomi moden dan dasar moden dalam masyarakat? - Astro AWANI
Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) memuji Malaysia kerana menaikkan had Pendapatan Garis Kemiskinanan (PGK) baharu daripada RM980 kepada RM2,208.
Wakil Residen UNDP di Malaysia, Singapura dan Brunei, Niloy Banerjee berkata, ia satu langkah progresif bagi memperoleh statistik negara yang lebih baik.
Ia juga mampu membantu negara merangka dasar yang lebih baik dan menyeluruh, katanya.
"Ia akan memudahkan untuk proses merangka dasar-dasar sosial yang menjadi langkah seterusnya bagi Malaysia dalam pembangunannya.
"Oleh itu, terdapat potensi untuk merancang, sebagai contoh, dasar perlindungan sosial yang sangat baik, bukan sahaja untuk golongan B40 malah juga bagi mereka yang bukan miskin secara 'tradisional', tetapi yang menjadi miskin tatkala krisis.
"Hal ini kerana, mereka kehilangan akses kepada sumber pendapatan seperti pemandu teksi e-hailing," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
BACA: Kerajaan Malaysia ambil langkah berani tetapkan garis kemiskinan berdasarkan realiti - Pelapor Khas PBB
Bagaimanapun, beliau menegaskan, Malaysia perlu meneroka kontrak sosial yang baharu bagi memastikan kitaran kemiskinan dapat dihentikan.
"Mereka yang tidak mempunyai akses kepada teknologi digital menjadi satu lagi sempadan baharu kepada kemiskinan.
"Apa yang boleh kami lakukan di sini adalah kami perlu memikirkan semula kontrak sosial. Bagaimana kami dapat menjaga mereka yang tidak mampu menjaga diri sendiri atau tidak mampu bersaing dalam ekonomi moden dan dasar moden dalam masyarakat?
"Memang terdapat sedikit pemikiran semula mengenai kontrak sosial tersebut. Dan di situ, kami perlu benar-benar melihat program perlindungan sosial, program insurans dan program perlindungan sejagat," ujarnya.
Pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan PGK Nasional yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menetapkan sebanyak RM2,208 bagi tahun 2019 berbanding RM980 sebulan pada 2016.
Angka berkenaan merupakan nilai PGK baharu yang diperolehi setelah kerajaan mengkaji semula metodologi pengiraan yang digunakan pakai sejak 2005.
#akses #digital #insurans #kitaran kemiskinan #kontrak sosial #miskin #moden #Niloy Banerjee #PBB #Pendapatan Garis Kemiskinanan #perlindungan #PGK #PGK Nasional #Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu #teknologi #UNDP
;