Hab produk halal diperluas kepada industri pelancongan

Bernama
Disember 21, 2024 07:15 MYT
Ab Rauf merasmikan Festival Halal Antarabangsa Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka semalam. - Facebook Ab Rauf
MELAKA: Perkembangan Melaka sebagai hab produk halal dunia akan diperkasakan dengan tidak hanya bertumpu kepada produk makanan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata sebagai negeri pelancongan, produk halal perlu dikembangkan kepada sektor pelancongan dan dimanfaatkan oleh usahawan serta syarikat yang berada dalam industri halal.
"Halal ini bukan sahaja membabitkan makanan tetapi sangat meluas dan kita mempunyai pelbagai produk yang boleh dijenamakan sebagai produk halal memandangkan pasarannya amat besar.
"Perkembangan ini mampu memberikan keyakinan kepada pengguna Islam untuk menikmati pelbagai produk halal dan seperti kita tahu, kapal persiaran Genting Dreams yang singgah di Melaka telah pun memulakan menggunakan produk halal di atas kapal berkenaan dan berjaya menarik lebih ramai pelancong Islam," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Festival Halal Antarabangsa Melaka 2024 (MIHF24) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ab Rauf juga mahu pemain industri halal lebih aktif dalam memasarkan hasil keluaran mereka yang berkualiti dengan menggunakan platform media sosial dan tidak hanya bergantung kepada kaedah konvensional seperti pasar raya semata-mata.
Kerajaan negeri turut menyasarkan lebih banyak produk mempunyai sijil halal supaya meningkatkan keyakinan pelancong.
Sementara itu, MIHF24 anjuran MAIM Holdings Sdn Bhd dan Majlis Agama Islam Melaka berlangsung selama dua hari bermula semalam, menarik lebih 250 pemain industri halal daripada pelbagai bidang termasuk penyertaaan lebih 10 negara antaranya Emiriyah Arab Bersatu, Indonesia, Iran dan Singapura di samping lebih 30 syarikat di bawah industri pelancongan halal.
"Saya percaya Melaka akan terus kukuh di pentas global untuk mengangkat negeri ini sebagai hab halal antarabangsa seiring merealisasikan sasaran pasaran produk dan perkhidmatan halal menjangkau US$ 5 trilion menjelang 2030," katanya.
-- BERNAMA
#Ab Rauf Yusoh #Melaka sebagai hab produk halal dunia #sektor pelancongan #MIHF24
;