Hab perdagangan Pulau Pinang dijangka pacu KDNK lebih RM100 bilion

Bernama
Oktober 17, 2019 06:30 MYT
Kerajaan negeri Pulau Pinang bekerjasama dengan Fusionex untuk mewujudkan platform logistik pintar dan pemudahcara perdagangan pintar. - Gambar hiasan
Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang dijangka melebihi RM100 bilion pada beberapa tahun akan datang berikutan langkah kerajaan negeri mewujudkan hab Pemudahcara Perdagangan Pintar.
Kerajaan negeri telah bekerjasama dengan pakar teknologi data terkemuka, Fusionex, untuk mewujudkan platform logistik pintar dan pemudahcara perdagangan pintar, yang akan membolehkan perniagaan memanfaatkan pertumbuhan pesat ekonomi digital serta perdagangan rentas sempadan.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inisiatif itu akan memacu aktiviti perniagaan serta mewujudkan persekitaran mesra perniagaan di Pulau Pinang, terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Dalam tempoh beberapa tahun lepas, Pulau Pinang telah mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK lebih lima peratus dan menerima pelaburan bernilai lebih RM9 bilion pada separuh pertama 2019," katanya dalam ucapan pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di sini, pada Khamis.
MoU itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Farizan Darus bagi pihak kerajaan Pulau Pinang dan Pengarah Urusan (Perusahaan dan Sektor Awam) Fusionex Chua Yu Ye.
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Chow, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Abdul Halim Hussain serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Fusionex Datuk Seri Ivan Teh.
Di bawah MoU itu, Fusionex akan menyediakan infrastruktur perlu, penyelesaian, perkhidmatan, kemudahan, pengetahuan pakar dan teknologi serta keupayaan lain untuk mengendalikan platform pemudahcara perdagangan pintar itu.
-- BERNAMA
#Chow Kon Yeow #ekonomi digital #fusionex #KDNK #pakar tknologi data #perdagangan #pertumbuhan #perusahaan #PKS #pulau pinang
;