Hab Digital Ketereh bakal jadi pusat pendidikan e-dagang, e-pembelajaran

Bernama
Julai 22, 2022 07:20 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan melancarkan Hab Digital Ketereh di Kelantan sebagai pusat pendidikan untuk menambah kemahiran dan memperkukuh e-dagang dan e-pembelajaran dalam kalangan komuniti. -Facebook K-KOM
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) akan melancarkan Hab Digital Ketereh di Kelantan sebagai pusat pendidikan untuk menambah kemahiran dan memperkukuh e-dagang dan e-pembelajaran dalam kalangan komuniti.
Terletak di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Melor, hab digital tersebut akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu yang bakal dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa merangkap Ahli Parlimen Ketereh.
Hab digital tersebut merupakan kerjasama antara YTL Foundation, YES oleh YTL Communications, Shopee, K-KOM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mempunyai visi untuk mewujudkan hab daripada pusat komuniti sedia ada di Ketereh.
Seorang pegawai YES memberitahu Bernama bahawa syarikat itu melihatnya sebagai peluang untuk memaparkan kesalinghubungan Internet berkelajuan tinggi kepada komuniti dengan menyediakan teknologi 5G dan data untuk memperkasa hab digital tersebut.
"Hab Digital Ketereh akan menjadi satu pusat sehenti yang membolehkan komuniti mendapat akses percuma bagi menikmati pengalaman internet berkelajuan tinggi 5G, alat latihan bagi e-dagang dan program pembelajaran dalam talian yang berkualiti.
"Melalui Shopee University dan 'Jadi Boss Dengan Shopee', usahawan akan dilatih agar berjaya di pasaran digital," katanya.
Selain itu, beliau berkata hab digital tersebut akan turut menawarkan Frog Classroom, ruang pembelajaran disambungkan 5G yang akan menggalakkan pelajar memanfaatkan teknologi, kreativiti, pembelajaran secara usaha sama, pemikiran kritis dan komunikasi melalui program pembelajaran selepas sesi persekolahan yang dinamakan KelasKita.
"KelasKita akan mengendalikan pembelajaran Bahasa Malaysia, English, Matematik dan Sains untuk membantu pelajar meningkatkan pengetahuan memandangkan mereka belajar di samping kalangan pelajar komuniti KelasKita lain di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata matlamat jangka panjang penubuhan pusat digital tersebut adalah meluaskannya ke seluruh Malaysia, menawarkan lebih banyak peluang kepada seluruh masyarakat di Malaysia untuk turut serta dalam gerakan 5G dan menambah kemahiran celik digital.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #Hab Digital Ketereh #E-dagang #e-pembelajaran
;