Hab bekalan makanan: "Inilah yang saya laungkan 3, 4 minggu lalu, yang disindir orang" - Saarani

Aida Aziz
Jun 18, 2022 17:31 MYT
Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA Manong ini mempunyai pelbagai fasiliti di bawah satu bumbung. - Foto Astro AWANI/Aida Aziz
KUALA KANGSAR : Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA di Manong yang dibangunkan di sini merupakan salah satu usaha untuk menjadikan negeri Perak sebagai hab bekalan makanan terbesar.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pusat yang berfungsi sebagai model perniagaan dan rujukan pemasaran hasil pertanian berteknologi itu merupakan antara agenda yang diuar-uarkannya sebelum ini kepada umum.
"Kita datang ke sini dan lihat ada satu kelebihan iaitu Pertubuhan Fertigasi Manong, yang didukung oleh orang tempatan.
"Pertubuhan ini menjadi collector kepada hasil tanaman itu dan ia memberi galakan kepada orang kampung untuk bertanam dan hasilkan tanaman, seterusnya pasarkannya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program lawatan kerja Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee ke tapak Pasar Tani Kekal Kuala Kangsar dan Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA Manong, di sini pada Sabtu.
Ujar Saarani, langkah dan usaha tersebut merupakan rangkaian penting bagi menjamin sekuriti bekalan makanan negara mencukupi.
"Inilah yang saya laungkan tiga empat minggu lalu. Yang kadang-kadang disindir oleh orang.
"Macam saya ni gila lah... macam-macam. Inilah bendanya, benda yang kita nak Perak menjadi pengeluar makanan terbesar.
"Bukan saja untuk kegunaan sendiri, saya sebutkan tanam apa yang kita nak makan, makan apa yang kita tanam dan lebihnya jual. Jadi inilah yang saya maksudkan," katanya lagi.
Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA Manong ini mempunyai pelbagai fasiliti di bawah satu bumbung.
Ia meliputi pusat latihan, pusat jualan dan pemborongan, tapak pertanian, kafeteria dan medan penjaja, medan gerai buah-buahan segar, termasuk pertanian pintar (aquaponics & vertical farming) dan projek pertanian fertigasi.
BACA: MB Perak saran rakyat tanam sayur, ternak haiwan untuk kegunaan sendiri
BACA: Guna teknologi terkini, pastikan bekalan makanan negara terjamin - Ronald Kiandee
Melalui pembangunan pusat ini secara langsung dapat memberi peluang dan pendedahan kepada golongan belia mengenai teknologi terkini dalam sektor pertanian.
Sekali gus mengoptimumkan penggunaan tanah-tanah terbiar milik kerajaan.
Terdahulu pada program itu, Ronald Kiandee dan Saarani melawat tapak Projek Pasar Tani Kekal (PTK) Kuala Kangsar yang bakal memberikan manfaat kepada lebih 100 orang usahawan apabila siap sepenuhnya pada April 2023.
Transformasi pasar awam sebagai one stop centre atau pusat sehenti dengan pengurusan yang lebih sistematik ini akan menyediakan 116 lot baharu.
Ia terdiri daripada lapan lot runcit, lapan lot medan selera dan 100 lot terbuka yang dijangka akan meningkatkan pendapatan dan nilai jualan peserta sebanyak 30 peratus.
Selain PTK Kuala Kangsar, terdapat empat lagi lokasi PTK yang masih di dalam pembinaan iaitu di Kampung Gajah, Perak, FELDA Palong, Negeri Sembilan, Kuala Krai, Kelantan dan Seberang Jaya, Pulau Pinang.
#Pusat Pemasaran Agromakanan FAMA #Manong #hab bekalan makanan #MB Perak #Menteri Besar #Saarani Mohamad #Perak #Pertubuhan Fertigasi Manong
;