H5N1: Kedatangan pelancong ke Kelantan menurun
Muhafandi Muhamad
Mac 22, 2017 08:23 MYT
Mac 22, 2017 08:23 MYT
Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Kelantan mengakui kedatangan pelancong ke negeri itu terjejas sejak wabak selesema burung (H5N1) melanda.
Menurut Pengarahnya Mohd Aidil Afizie Daud, jumlah kemasukan pelancong luar menunjukkan penurunan setelah tersebar berita wabak berkenaan.
Beliau menjelaskan sejumlah tempahan hotel turut dibatalkan dan pelancong dari luar Kelantan bimbang dengan penularan wabak tersebut walaupun setakat ini ia tidak menjangkiti manusia.
Situasi penurunan jumlah pelancong ke Kelantan ini dijangka akan berlarutan sehingga wabak ini diisytiharkan bebas sepenuhnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Tok Aman Bali Beach Resort Hizam Shah Omar mengakui tempahan bilik hotel berkurangan sejak wabak H5N1 melanda.
Lebih 10 tempahan bilik sehari dibatalkan kerana pelanggan bimbang dengan penularan wabak berkenaan.
Beliau berkata, walaupun tidak menjejaskan industri perhotelan di Kelantan secara keseluruhannya, namun cuti sekolah yang bermula hujung minggu lepas menyaksikan tempahan bilik agak berkurangan dari pelancong luar Kelantan.
Wabak H5N1 dikesan di Kelantan sejak awal bulan ini yang mengakibatkan lebih 35,000 unggas termasuk ayam kampung dan itik dimusnahkan melibatkan 6 jajahan di Kelantan.