Gusi berdarah perlu dirawat, elak hilang gigi - Pakar

Bernama
September 7, 2020 05:24 MYT
Penyakit gusi perlu dirawat dari peringkat awal kerana apabila sudah mencapai peringkat lanjut ia sukar dirawat dan keadaan itu boleh menjejaskan kualiti kehidupan individu. -Gambar hiasan
Masyarakat sering memandang ringan masalah gusi berdarah dan tanpa mereka sedari bahawa ia boleh menyebabkan kehilangan gigi.
"Perlu ada dalam fikiran kita bahawa individu dengan gusi berdarah adalah bermasalah dan tidak sihat," kata Pakar Pergigian Periodontik Klinik Pakar Pergigian Kota Setar Dr Rusmizan Yahaya.
Beliau berkata pendarahan gusi boleh menjejaskan tisu penyokong yang melindungi gigi dan lazimnya penyakit gusi terbahagi kepada dua peringkat iaitu Gingivitis dan Periodontitis.
"Keradangan gusi peringkat awal dikenali sebagai Gingivitis, iaitu pesakit mengalami gusi bengkak yang salah satunya disebabkan oleh pembentukan plak atau karang gigi yang terhasil akibat pengumpulan sisa makanan tidak dibersihkan dengan baik. Plak hanya boleh dirawat dengan kaedah scaling.
"Jika dibiarkan, keadaan itu boleh menyebabkan gusi merah, bengkak dan mudah berdarah," katanya dalam sesi 'Sembang Sihat Gusi Berdarah, Kenapa?' yang disiar secara langsung melalui laman Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.
Periodontitis pula adalah keadaan pesakit yang mengalami penyakit gusi peringkat lanjut, melibatkan bahagian akar gigi atau tulang penyokong gigi yang boleh menyebabkan struktur gigi longgar dan tercabut, katanya.
Dr Rusmizan berkata antara faktor yang sering dikaitkan dengan gusi berdarah adalah kecederaan fizikal, yang boleh berlaku ketika memberus gigi dengan teknik tidak betul atau faktor sistemik, akibat pengambilan sesuatu ubat.
Beliau berkata penyakit gusi perlu dirawat dari peringkat awal kerana apabila sudah mencapai peringkat lanjut ia sukar dirawat dan keadaan itu boleh menjejaskan kualiti kehidupan individu.
"Ramai pesakit muda beranggapan pada umur 60 hingga 70 tahun, gigi akan longgar dan itu adalah tanggapan yang salah sebab gigi kalau dijaga dengan baik, ia akan dapat dikekalkan," katanya.
Mengenai amalan yang boleh mengelakkan penyakit gusi, Dr Rusmizan berkata langkah pencegahan paling utama ialah setiap individu perlu memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.
"Kalau tak berus, memang gigi akan rosak dan seeloknya mestilah guna ubat gigi berflorida dan memberus dengan teknik yang betul dan berkesan," katanya.
-- BERNAMA
#gigi #Gingivitis #gusi berdarah #Pakar Pergigian Periodontik Klinik Pakar Pergigian Kota Setar #Periodontitis #Rusmizan Yahaya #tercabut
;