Guru warga emas dituduh lakukan serangan seksual, sentuh dada pelajar
Shuhada Abdul Kadir
Mac 21, 2019 16:11 MYT
Mac 21, 2019 16:11 MYT
Seorang guru sebuah sekolah berasrama penuh berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas pertuduhan melakukan serangan seksual fizikal terhadap anak muridnya, November tahun lalu.
Tertuduh AB Malek Sanat, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak muridnya yang ketika itu berusia 16 tahun dengan cara menyentuh buah dada gadis berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel di Melaka Raya sekitar 3 petang hingga 9.30 pagi, antara 2 hingga 4 November tahun lalu.
Justeru guru warga emas itu didakwa mengikut seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Mazuin Hashim mencadangkan jaminan RM20,000 sebelum tertuduh yang diwakili peguam Andrew Lourdes merayu jumlah berkenaan dikurangkan berikutan anak guamnya menanggung seorang isteri dan tiga anak.
Norma kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
#AB Malek Sanat
#amang seksual
#Kanak-kanak
#mahkamah
#Mahkamah Sesyen
#mahkamah sesyen ayer keroh
#serangan seksual
#warga emas