Guru wanita berdepan hukuman jika dakwaan cabul murid benar - Fadhlina
Bernama
Mac 26, 2024 14:34 MYT
Mac 26, 2024 14:34 MYT
KLANG: Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan ke atas guru wanita yang didakwa mencabul seorang pelajar lelaki dalam kes tular baru-baru ini, jika siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku, kata menteri berkaitan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata buat masa ini guru berkenaan tidak dibenarkan berurusan dengan mana-mana murid sehingga siasatan selesai.
"Kementerian akan mengambil tindakan ke atas guru wanita tersebut setelah polis melengkapkan siasatan dan sehingga itu, kita akan patuhi segala prosedur ditetapkan sehingga siasatan selesai.
"Bagi pelajar lelaki itu pula, kita berikan sokongan psikososial dan perlindungan sepenuhnya sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan Kementerian Pendidikan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Temu Mesra Menteri Pendidikan dengan Calon Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dilaporkan berkata pihaknya telah merakam keterangan guru wanita berusia 37 tahun itu.
Ibu mangsa membuat laporan polis pada 12 Dis lepas mendakwa suspek mencabul anaknya ketika mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
-- BERNAMA