Guru tuisyen didenda RM2,800 kerana menyamar polis

Bernama
Januari 13, 2017 23:00 MYT
Tan Tiam Soon, 47, didenda RM1,000 bagi kesalahan menyamar sebagai anggota polis, RM800 kerana menceroboh dan bagi kesalahan menunjukkan pistol plastik, tertuduh didenda RM1,000. - Gambar hiasan
Seorang guru tuisyen didenda berjumlah RM2,800 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyamar sebagai anggota polis, menceroboh dan memiliki pistol tiruan.
Tan Tiam Soon, 47, didenda RM1,000 bagi kesalahan menyamar sebagai anggota polis, RM800 kerana menceroboh dan bagi kesalahan menunjukkan pistol plastik, tertuduh didenda RM1,000.
Majistret Nur A'Minahtul Mardiah Md Nor turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan bagi setiap pertuduhan itu, jika dia gagal membayar denda.
Tertuduh mengaku menyamar sebagai seorang anggota polis sambil menunjukkan sepucuk pistol dan gari kepada lelaki warganegara Myanmar, Rahman BI, 35, di No 30-12-5, Apartment Jalan 1/2D, Taman Sri Murni, pada 8 malam, 8 Jan lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda.
Bagi pertuduhan kedua, Tan mengaku menceroboh masuk rumah milik Rahman di alamat, masa, tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.
Tan juga mengaku memiliki sepucuk pistol tiruan dan menunjukkan kepada mangsa sama bagi tujuan menakutkannya di alamat, masa, tempat dan tarikh yang sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang tinggal di blok sama dengan mangsa, memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis, serta masuk ke dalam rumah mangsa dan mengatakan akan menangkap mangsa dengan alasan dia adalah pemegang kad UNHCR dan tidak boleh bekerja di negara ini.
Sebelum beredar, tertuduh menunjukkan objek berbentuk pistol dan sepasang gari terhadap mangsa.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam M. Mathavan, memohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya menyara tiga orang anak yang masih bersekolah manakala Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal. - BERNAMA
#denda #Kanun Keseksaan #menyamar #polis
;