Guru terlibat SPM boleh guna laluan khas di SJR - Polis

Shuhada Abdul Kadir
Februari 22, 2021 10:46 MYT
Guru serta pegawai yang terlibat dengan peperiksaan SPM 2020 diberi kelonggaran untuk menggunakan laluan khas petugas barisan hadapan COVID-19 yang disediakan di setiap sekatan jalan raya (SJR). -Gambar fail
AYER KEROH: Guru serta pegawai yang terlibat dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 diberi kelonggaran untuk menggunakan laluan khas petugas barisan hadapan COVID-19 yang disediakan di setiap sekatan jalan raya (SJR).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata kebenaran itu bagi memastikan peperiksaan SPM yang dijalankan di 39 buah sekolah seluruh daerah ini berjalan dengan lancar.
“Mengambil kira pembudayaan norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kali ini, pelbagai garis panduan perlu dipatuhi oleh guru serta pelajar sebelum peperiksaan berlangsung termasuk bergerak lebih awal untuk mengambil kertas peperiksaan di lima bilik kebal di daerah ini.
“Jadi untuk pastikan peperiksaan ini berjalan lancar, kami benarkan guru dan pegawai yang terlibat untuk gunakan laluan khas memandangkan mereka juga perlu sampai awal ke pusat-pusat peperiksaan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan SOP peperiksaan SPM 2020 di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah di Batu Berendam, di sini.
Mengulas lanjut ujar Afzanizar, sepanjang peperiksaan yang dijadual berlangsung sehingga 25 Mac ini juga, seramai 40 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada pegawai polis ditugaskan untuk memantau pelaksanaan SOP di kesemua 39 pusat peperiksaan di daerah itu.
“Kita telah gerakkan semua PPS dan berkolaborasi bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak sekolah bagi memastikan SOP dipatuhi dan para pelajar mengikuti arahan yang telah dikeluarkan.
“Dengan kehadiran pihak polis kita harap dapat membantu guru-guru dalam menjalankan pengawasan SOP ini yang mana kita tahu SPM tahun ini berbeza, termasuk calon perlu mengisi borang deklarasi kesihatan setiap kali memasuki dewan peperiksaan,” tambahnya.
Untuk rekod, di Melaka seramai 13,464 calon SPM dari 74 buah sekolah akan menduduki peperiksaan pada hari ini, melibatkan seramai 1,312 petugas.
#SPM #laluan khas #petugas barisan hadapan #Sekatan Jalan Raya #SJR #diberi kelonggaran #COVID-19 #SOP #peperiksaan #pelajar #Afzanizar Ahmad
;