Guru terjatuh bot ditemui mati lemas
Bernama
Disember 25, 2015 19:01 MYT
Disember 25, 2015 19:01 MYT
Seorang guru dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot semasa memancing di Sungai Bidor di sini petang, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Aizal Imri Abdul Rahman berkata mangsa Zainal Abidin Abu Yamin, 52, dari Taman Melor dipercayai terjatuh dari bot yang dipandunya ketika dalam perjalanan pulang ke jeti berhampiran.
Beliau berkata guru sebuah sekolah menengah itu memancing bersama seorang rakannya yang menaiki bot berasingan.
"Kami menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.27 malam tadi dan unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan bergegas ke tempat kejadian.
"Operasi pencarian meliputi kawasan seluas 2.5 kilometer di sekitar sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Aizal Amri berkata rakan mangsa yang bertugas sebagai anggota polis memaklumkan beliau tidak nampak kelibat mangsa yang berada di belakang botnya selepas 10 minit mereka bergerak pulang dari lokasi memancing.
"Ketika rakannya itu menoleh ke belakang untuk melihat mangsa, beliau mendapati bot mangsa sudah tidak kelihatan sebelum rakannya berpatah balik untuk mencarinya.
"Sebaik menemui bot mangsa, beliau melihat mangsa berada di dalam sungai dan cuba untuk membantu, namun gagal kerana mangsa hanya timbul sekali kemudian terus tenggelam," katanya sambil menambah operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan.
Beliau berkata sungai itu dipercayai mempunyai buaya.