Guru taska mengaku tidak bersalah abai kanak-kanak lemas

Abd Razak Mohd Ali
Julai 12, 2023 11:59 MYT
Esther Christina Samuel Ponniah, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis. - Gambar/ Astro AWANI
IPOH: Seorang guru taska dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas tuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang lemas dalam kolam renang, pada April lalu.
Tertuduh, Esther Christina Samuel Ponniah, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah meninggalkan seorang kanak-kanak, V. Thanes Nair, yang di bawah jagaannya, tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kolam renang di Bandar Baru Sri Kelebang, Ipoh, lebih kurang jam 10.20 pagi, 17 April lalu.
Guru taska itu didakwa di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 23 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syahirah Azahar manakala tertuduh diwakili Penguam Gary Xavier.
Pada 23 April lalu, kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia setelah enam hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Kejadian itu berlaku pada hari pertama ibu mangsa menghantar anaknya ke taska berkenaan.
Media melaporkan, bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu mendapati punca kematian akibat mati otak disebabkan lemas dan kegagalan fungsi organ.
#guru taska #kanak-kanak lemas #Ipoh #keputusan mahkamah
;