Guru tampar, cekik murid ditempatkan di Pejabat Pendidikan Islam daerah - Exco

Sinar Harian
Mei 11, 2024 18:29 MYT
Mohd Fared (foto) berkata laporan berhubung perkara tersebut telah pun dibuat Pejabat Pendidikan Islam daerah berkenaan dan mereka sedia memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). -Gambar fail/Bernama
JOHOR BAHRU: Guru yang didakwa menampar, memukul dan mencekik sekumpulan murid yang mengintainya menghisap rokok di dalam stor sebuah sekolah agama di Pontian, baru-baru ini, akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Islam daerah sepanjang tempoh siasatan berlangsung.
Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, laporan berhubung perkara tersebut telah pun dibuat Pejabat Pendidikan Islam daerah berkenaan dan mereka sedia memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kerajaan negeri Johor memandang serius dakwaan ini dan menolak sebarang penggunaan kekasaran ke atas pelajar.
“Laporan sudah dibuat dan guru yang didakwa terlibat dalam kes tersebut akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Islam daerah selama siasatan berlangsung.
“Dalam masa sama, kesemua murid yang terlibat dibenarkan untuk mengambil cuti,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, seorang guru lelaki didakwa bertindak luar batasan dengan menampar, memukul dan mencekik empat murid dalam kejadian di sebuah sekolah agama di Pontian, petang Rabu lalu.
Guru berusia 48 tahun itu bertindak demikian dipercayai berang setelah tiga murid berusia 10 dan 11 tahun mengintainya menghisap rokok di dalam sebuah stor.
Guru terbabit juga didakwa memarahi beberapa orang murid yang lain dengan mengeluarkan kata-kata kesat.
Susulan itu, seorang bapa dan tiga ibu membuat laporan di Balai Polis Ayer Baloi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit.
Sementara itu, Mohd Fared berkata, Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan sentiasa memastikan suasana pembelajaran di semua Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor berada dalam keadaan selamat dan kondusif kepada semua guru dan pelajar.
“Dalam masa sama, kita juga memohon agar semua pihak menghormati proses siasatan oleh PDRM dalam hal ini dan tindakan selanjutnya termasuk tindakan tatatertib akan diambil tertakluk kepada hasil siasatan tersebut,” katanya. -Sinar Harian
#guru #pukul murid #Pejabat Pendidikan Islam #Mohd Fared Mohd Khalid
;