Guru tabika khalwat dengan adik ipar sendiri didenda
Sinar Harian
Oktober 10, 2018 21:26 MYT
Oktober 10, 2018 21:26 MYT
Seorang wanita yang berstatus isteri orang dan pasangan yang juga adik iparnya, dikenakan hukuman denda RM1,300 setiap seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu hari ini kerana berkhalwat.
Wanita berusia 29 tahun dan bekerja sebagai guru tabika manakala adik iparnya, 25, yang tidak bekerja turut berdepan hukuman seminggu penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.
Keputusan dibuat selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khalwat di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Mengikut fakta kes, serbuan berwaran dilakukan di sebuah rumah di Pulau Musang, di sini, lebih kurang jam 10.45 malam, pada 26 Jun lalu.
Pintu utama yang tertutup rapat diketuk selama dua minit sebelum dibuka seorang wanita.
Pemeriksaan di dalam rumah mendapati terdapat seorang kanak-kanak sedang tidur di ruang tamu dan seorang lagi sedang tidur di dalam buaian.
Hasil pemeriksaan selanjutnya mendapati ada seorang lelaki berada di dapur yang hanya memakai kain pelikat tanpa baju.
Soal siasat mendapati mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram, manakala kedua-dua kanak-kanak itu merupakan anak kepada wanita tersebut.
Wanita itu turut membuat pengakuan mengambil kesempatan bermadu kasih dengan adik ipar di rumah kerana suaminya berkursus.
Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar.