Guru sekolah menang Tilawah Al-Quran Negeri Sabah

Bernama
Mac 3, 2023 11:10 MYT
Hamdi dan Nabilah masing-masing menerima antara lain, wang tunai RM10,000, piala iringan, sijil penghargaan, pakej menunaikan umrah dan seutas jam tangan. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Dua orang guru sekolah masing-masing memenangi kategori qari dan qariah pada Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Negeri Sabah.
Johan bagi kategori qari Hamdi Yusof, 27, guru Sekolah Agama Papar berkata kemenangan itu adalah kali kedua untuknya, selepas memenangi kategori yang sama pada tahun lalu sejak menyertai pertandingan itu pada 2015.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata beliau tidak memperuntukan masa yang tetap untuk berlatih, tetapi lebih banyak menggunakan masa dalam kenderaan untuk melancarkan sebutan bacaan Al-Quran.
"Saya mula belajar mengaji bertarannum ini sejak 2007 dan belajar secara tidak formal daripada arwah ayah saya. Selain itu istiqamah mempelajari dengan memperbanyakkan talaqqi bersama guru, sama ada dalam talian atau secara langsung," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan dan penyampaian hadiah tilawah itu di sini malam tadi.
Hadiah disampaikan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada majlis yang turut dihadiri isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Ahli-Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah.
Hamdi yang juga pemenang johan terbaik mewakili Pantai Barat Selatan dengan jumlah markah sebanyak 87.66 peratus, berkata allahyarham bapanya juga merupakan seorang guru agama dan pernah menjadi juri dalam pertandingan tilawah al-Quran.
Bagi pemenang kategori qariah Nabilah Syafawati Safari, 27, guru Sekolah Kebangsaan Tetagas Nabawan berkata beliau mempelajari Al-Quran dan tarannum daripada ayahnya, yang juga pernah menjadi johan qari pada 1996.
Nabilah Syafawati berkata selain ayahnya, beliau juga turut berguru dengan qari yang pernah menjadi johan dalam pertandingan tilawah peringkat antarabangsa, seperti Muhammad Anuar Ghazali.
"Saya tidak sangka boleh menang, kerana sasaran saya hanya dapat sagu hati saja sebab masih ada beberapa kelemahan dalam bacaan Al-Quran," katanya yang telah menyertai pertandingan itu sejak 2014.
Kedua-dua pemenang menerima wang tunai sebanyak RM10,000, piala iringan, sijil penghargaan, pakej menunaikan umrah sumbangan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, seutas jam tangan sumbangan Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, sepersalinan pakaian sumbangan JAKIM, serta cenderahati sumbangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Seorang lagi pemenang Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan menjadi johan bagi kategori hafazan tahap dua juzuk satu hingga 20 iaitu Muhammad Iman Izzuddin Jamaludin, 21, dengan memperoleh markah 87.16 peratus, manakala bagi kategori qariah dimenangi oleh Nur Alia Rafidah Supu, 20.
Masing-masing akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM7,000, piala Iringan, sijil penghargaan, seutas jam tangan sumbangan SESB, sepersalinan pakaian sumbangan JAKIM serta cenderahati sumbangan JHEAINS.
-- BERNAMA
#Sabah #guru sekolah #tilawah al-quran #hafazan
;