Guru rugi RM95,100 jadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan sambilan
Azee Shafy
Disember 30, 2022 10:30 MYT
Disember 30, 2022 10:30 MYT
PEKAN: Seorang guru lelaki di daerah ini menanggung kerugian RM95,100 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan sambilan menerusi platform e-dagang.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata berdasarkan laporan, mangsa berusia 35 tahun itu telah menyertai kumpulan yang menawarkan kerja sambilan di aplikasi Telegram.
Menurutnya, mangsa terlebih dahulu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp melalui nombor telefon yang diberikan.
"Mangsa ditawarkan kerja sampingan melalui WhatsApp, dan menyertai pautan di aplikasi Telegram yang diberi oleh sindiket bermula pada 23 Disember lalu, dan berjaya mendapatkan keuntungan semula selepas membuat pelaburan kali pertama.
"Mangsa sekali lagi membuat beberapa tugasan dan transaksi dari tarikh 23 hingga 28 Disember lalu ke beberapa akaun berbeza dengan tujuan mendapatkan keuntungan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Zaidi memberitahu, selepas melakukan semua transaksi tersebut, mangsa menyedari dirinya tertipu kerana masih tidak menerima pulangan wang seperti yang dijanjikan.
Mohd Zaidi menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dalam membuat keputusan atau menerima tawaran pekerjaan melalui dalam talian oleh mana-mana pihak.
"Langkah itu bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di platform e-dagang atau media sosial," jelasnya.