Guru pukul murid guna penyapu diperintah bayar ganti rugi RM85,000
Bernama
Oktober 11, 2024 15:00 MYT
Oktober 11, 2024 15:00 MYT
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan seorang bekas guru sekolah kebangsaan di Selayang, yang memukul bekas muridnya menggunakan penyapu sehingga berdarah dan menerima lima jahitan di kepala membayar ganti rugi berjumlah RM85,000.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Hazizah Kassim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pelajar berkenaan, kini berumur 13 tahun, diwakili bapanya selaku plaintif terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Selayang yang menolak saman terhadap guru wanita berumur 60 tahun itu.
Namun Hazizah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak saman itu terhadap guru besar sekolah berkenaan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.
Hazizah dalam penghakimannya berkata mahkamah berpendapat tindakan defendan pertama (guru wanita) menggunakan penyapu untuk menakutkan murid supaya mengikut arahan dianggap tidak dialu-alukan pada era ini.
"Sektor pendidikan harus maju dalam mendidik anak murid. Setiap pendidik harus peka dan cakna pada perimeter hak perlindungan kepada kanak-kanak di bawah undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia.
"Insiden kes ini amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku di institusi sekolah yang merupakan institusi pendidikan kanak-kanak di negara ini. Ia diharap menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi," katanya.
Hazizah berkata terdapat kekhilafan yang nyata dalam kes ini yang membolehkan Mahkamah Tinggi untuk campur tangan.
"Justeru, mahkamah ini mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan defendan pertama diarah membayar ganti rugi am RM15,000 selain RM70,000 bagi ganti rugi teladan serta RM5,000 untuk kos rayuan. Mahkamah turut memutuskan defendan dua dan tiga tidak bertanggungan alih terhadap perbuatan defendan pertama," katanya.
Prosiding itu dihadiri peguam plaintif Azmer Md Saad dan Nur Zalikha Noor Kashfi manakala peguam Ruslan Hassan dan Mohd Zali Shaari mewakili wanita tersebut manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Aifaa Che Abdullah bertindak bagi pihak guru besar dan kerajaan.
Pada 20 Mac lepas, Mahkamah Sesyen Selayang menolak saman seorang bekas murid tahun dua di sebuah sekolah kebangsaan di Selayang terhadap tiga pihak termasuk seorang bekas guru sekolah itu atas dakwaan memukul menggunakan penyapu sehingga berdarah dan menerima lima jahitan di kepala.
Dalam saman difailkan pada 17 Okt 2022, plaintif ketika itu berumur lapan tahun mendakwa semasa sesi pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu pada 3 petang, 18 Okt 2019, dia dan seorang lagi murid nampak defendan pertama sedang mengejar seorang lagi rakan sekelasnya sambil memegang sebatang penyapu.
Plaintif mendakwa semasa dia dalam perjalanan kembali ke tempat duduk, wanita itu secara tiba-tiba memukul kepalanya menggunakan penyapu tersebut dan dia mengalami kecederaan serta pendarahan yang banyak.
Hasil pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan di Gombak, mendapati dia mengalami kecederaan pada bahagian atas kepala dan menerima lima jahitan serta kepalanya dibalut bagi menutup luka.
Susulan itu, bapa plaintif membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan pada 6.45 petang, hari yang sama dan meminta defendan memberikan penjelasan dan defendan menyatakan bahawa mangsa dipukul kerana tidak berada di tempat duduk ketika sesi pembelajaran dalam kelas.
Dalam samannya, plaintif mendakwa kegagalan kesemua defendan untuk memastikan plaintif dibimbing dengan baik dan berada dalam keadaan selamat sepanjang sesi persekolahan, menyebabkan wanita itu mendatangkan kecederaan yang dialami plaintif.
-- BERNAMA