Guru positif COVID-19, kolej KTETF di Melaka diarah tutup

Shuhada Abdul Kadir
Januari 22, 2021 18:26 MYT
Semua kelas dan kawasan kolej berkenaan akan disanitasi oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam masa terdekat. - Gambar hiasan
MELAKA TENGAH: Jabatan Pendidikan Melaka mengarahkan penutupan Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah (KTETF) di Durian Daun, di sini selepas seorang guru di kolej berkenaan disahkan positif Covid-19.
Exco di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal, Vokasional, Sains dan Inovasi), Datuk Noor Effandi Ahmad, berkata arahan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga Khamis depan.
“Buat masa ini semua guru dan pelajar terutamanya di dua kelas terlibat yang mempunyai kontak rapat dengan guru berkenaan diminta kuarantin di rumah masing-masing sehingga dihubungi oleh Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah.
“Guru dan pelajar juga akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) bermula 25 Januari ini sepanjang kolej ditutup,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, semua kelas dan kawasan kolej berkenaan akan disanitasi oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam masa terdekat.
“Kes ini terpecil dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana tindakan segera telah dilaksanakan,” tambahnya.
#Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah #KTET #Jabatan Pendidikan Melaka #COVID-19 #exco Melaka #Noor Effandi Ahmad
;