Guru perlu lebih kreatif dalam menjayakan PDPR
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Mei 19, 2021 18:46 MYT
Mei 19, 2021 18:46 MYT
KENINGAU: Teknik pengajaran yang berkesan perlu diadaptasi oleh golongan pendidik agar ia mampu memberikan impak yang besar kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Antara teknik pengajaran yang boleh dipraktikkan adalah menjadikan pelajar sebagai kawan selain menggunakan bahasa yang santai ketika berkomunikasi menyampaikan ilmu.
Menurut seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Apin-Apin, Keningau, Maisin Madi, 50, biarpun berdepan kekangan antaranya capaian internet, namun dengan komitmen baik antara guru dan pelajar, PdPR tetap mampu dijayakan.
"Bercakap tentang masalah pelaksanaan PdPR, seperti di tempat saya, apabila tiada capaian internet saya menggunakan kaedah 'offline' dan saya tidak berdepan masalah melaksanakan kaedah ini kerana penglibatan pelajar sangat memberangsangkan.
"Jadi saya boleh katakan bahawa jika seseorang guru itu bijak mengadaptasi teknik PdPR yang berkesan, para pelajar pasti akan memberi sepenuh komitmen dan tumpuan dalam menjayakan kaedah ini sebaik-baiknya,” katanya ketika ditemui dalam tinjauan pelaksanaan PDPR di Keningau pada Rabu.
Jelas guru Bahasa Melayu yang diberi tanggungjawab mengajar empat kelas melibatkan pelajar tingkatan empat dan lima itu lagi, beliau berkongsikan maklumat yang ringkas dan padat agar pelajar mudah memahami tugasan yang diberikan.
"Saya sering mendedahkan mereka dengan format terbaharu yang akan digunapakai dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
"Apabila mereka meneliti kemahiran-kemahiran yang diuji dalam peperiksaan SPM dan mengaitkan dengan bahan yang saya edarkan, mereka dapati latihan itu berkesan.
"Keseluruhan pelajar melibatkan empat kelas ini adalah 108 orang dan Alhamdulillah sesi semalam menyaksikan kehadiran yang memberangsangkan dengan 103 kehadiran berbanding jumlah keseluruhan,” tambahnya.
Tambahnya, proses pengajaran yang diterapkannya juga mestilah bersesuaian dengan objektif PdPR iaitu mengutamakan kesediaan pelajar dalam menghadapi kaedah ini dan peperiksaan yang bakal mereka duduki.
PdPR | Guru perlu kreatif laksana PdPR
Justeru, guru masa kini perlu lebih bersedia berdepan dengan perkembangan persekitaran pelajar kerana generasi Z yang bakal menduduki SPM tahun ini, lebih cenderung kepada maklumat yang lebih ringkas dan padat.
“Generasi Z masa kini lahir dalam kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi dan mereka lebih suka memberi tumpuan kepada bahan pembelajaran yang ringkas dan padat.
“Adalah penting untuk guru-guru meneliti aspek ini bagi membolehkan pelajar lebih fokus seterusnya faham dengan ilmu yang disampaikan,” ujarnya lagi.
#PdPR Keningau
#kes positif COVID-19
#kes aktif di Sabah
#teknik pelaksanaan PdPR
#Sijil Pelajaran Malaysia
#masalah pelaksanaan PdPR
#kekang penularan COVID-19
#Generasi Z