Guru perlu dapat khidmat kaunseling jika tertekan dengan tugas - Kamalanathan

Bernama
April 23, 2017 21:57 MYT
P. Kamalanathan berkata, tahun lepas kira-kira 200 guru mendapatkan khidmat kaunseling termasuk dua peratus yang diarah berbuat demikian. -Gambar fail
Guru yang menghadapi tekanan dalam menjalankan tugas digalak agar mendapatkan khidmat kaunseling di Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata langkah itu ialah bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku ke atas guru.
"Kita mempunyai 450,000 guru di Malaysia dan kebanyakan mereka adalah guru contoh dan dan sangat bertanggungjawab.
"Namun terdapat sebilangan guru yang bermasalah dan kita memberi banyak ruang bagi membantu mereka.
"Tahun lepas kira-kira 200 guru mendapatkan khidmat kaunseling termasuk dua peratus yang diarah berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia 2017 di sini hari ini.
Kamalanathan diminta mengulas mengenai kejadian seorang murid Tahun Dua yang cedera akibat balingan kerusi seorang guru di sebuah sekolah di Penampang, Sabah dua hari lalu.
"Pastinya kita tidak mahu perkara seperti itu berulang. Jika kamu (guru) mempunyai masalah, adalah mustahak untuk kamu berbincang dengan seseorang," kata Kamalanathan.
Mengulas mengenai pembabitan pelajar sekolah dengan kegiatan kongsi gelap di Selangor, beliau berkata kementerian akan menunggu siasatan polis tamat dan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut cadangan yang diberi dalam laporan siasatan itu.
"Kita telah mengenal pasti beberapa sekolah yang menjadi 'hot spot' dengan kegiatan seperti ini dan polis juga telah meletakkan anggota mereka bagi tujuan pemantauan," jelasnya.
Mengenai Jelajah Pendidikan KPM 2017 itu, beliau berkata program itu bertujuan menyalurkan maklumat kepada orang ramai tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 serta pencapaiannya setakat ini.
Pelan pendidikan tersebut kini menurutnya telah memasuki fasa kedua (2016-2020) selepas fasa pertama (2013-2015) berjaya dilaksanakan.
Fasa pertama antara lain menyaksikan penambahbaikan dari aspek kehadiran pelajar ke sekolah, peningkatan peratusan enrolmen pelajar di semua peringkat persekolahan dan pencapaian yang memberangsangkan dalam penguasaan literasi bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan numerasi. -- BERNAMA
#baling kerusi #guru #Kementerian Pendidikan #khidmat kaunseling #kongsi gelap #p kamalanathan #Penampang #Sabah #tekanan
;