Guru nyaris kerugian RM4,800 gara-gara cinta si mata biru
Bernama
Januari 18, 2018 05:25 MYT
Januari 18, 2018 05:25 MYT
Gara-gara jatuh cinta dengan seorang jejaka bermata biru yang mendakwa dari England, seorang guru tuisyen di sini nyaris kerugian RM4,800 apabila diminta membayar 'caj kastam' untuk mengambil sebuah bungkusan yang dikirim oleh lelaki tersebut.
Dalam kejadian Isnin lalu, wanita berusia 25 tahun tersebut dihubungi oleh 'teman lelakinya' itu yang memberitahu dia telah mengirimkan pelbagai barangan termasuk sebuah beg tangan berjenama Furla, satu unit telefon bimbit iPhone 7, seutas rantai Chanel dan wang tunai 16,000 pound sterling sebagai hadiah kepadanya.
"Kami mula berkenalan pada 26 Disember lalu menerusi aplikasi WhatsApp dan dia memperkenalkan diri sebagai Wilson Yu dari England. Sejak itu kami sering berbalas mesej sehinggalah pada Isnin lepas dia memberitahu ingin menghantar hadiah kepada saya.
"Dia kemudian terus memberikan ' tracking number' bungkusan itu walaupun saya berulang kali menolak dan enggan menerimanya," katanya apabila ditemui pemberita selepas membuat satu laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini pada Khamis.
Disebabkan enggan menerima bungkusan tersebut, lelaki berkenaan menjadi berang dan tidak lagi menghubunginya selepas itu.
Bagaimanapun, katanya, awal pagi semalam dia menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ejen kastam dan memintanya melunaskan bayaran RM4,800 untuk mengambil barang yang dihantar kepadanya dari negara berkenaan.
"Apabila saya enggan dia telah bertindak memarahi saya sebelum memutuskan panggilan telefon," katanya yang turut menasihati orang ramai agar berhati-hati dan tidak menjadi mangsa penipuan sindiket seperti itu.
-- BERNAMA
#bungkusan
#caj kastam
#England
#guru
#guru tuisyen
#hadiah
#Kuantan
#lelaki
#mangsa
#polis
#teman lelaki
#WhatsApp