Guru, netizen perlu elak sebar video pergaduhan di sekolah - Fadhlina

Hilmi Malik
Januari 19, 2023 18:34 MYT
Fadhlina berkata, guru mempunyai tanggungjawab dalam melindungi identiti murid. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Semua guru serta netizen di negara ini disaran tidak menyebarkan sebarang rakaman video melibatkan insiden pergaduhan di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, guru khususnya mempunyai tanggungjawab dalam melindungi identiti murid selain ia berpotensi mendatangkan kesan yang buruk terhadap individu yang terlibat.
"Bila video ini mula tersebar di media sosial maka identiti individu yang terlibat akan terkesan apatah lagi wajah mereka yang terlibat.
"Tiada keperluan untuk sensasikan isu seperti ini," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya pada Khamis.
Fadhlina berkata demikian ketika mengulas isu satu pergaduhan di sekolah yang tular di media sosial, semalam.
Difahamkan, insiden terbabit melibatkan sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu.
Fadhlina dalam masa memaklumkan, kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk tindakan lanjut.
"KPM akan serah kes tersebut kepada pihak JPN Sabah dan kita yakin kes seumpama itu mampu untuk diselesaikan.
"KPM juga akan mempertimbangkan untuk memberikan perkhidmatan kaunseling terhadap murid yang terlibat," katanya.
Semalam, video berdurasi 22 saat itu tular di media sosial menyaksikan sekumpulan pelajar di sekolah berkenaan yang terlibat dengan pergaduhan.
Video itu juga memaparkan seorang murid diserang secara bergilir-gilir.
#gaduh di sekolah #kes tular #Menteri Pendidikan #Fadhlina Sidek
;