Guru, murid SK Orang Kaya Muda Pakeri cemas asrama terbakar
Rudi Affendi Khalik
Mei 19, 2022 13:08 MYT
Mei 19, 2022 13:08 MYT
TANJONG MANIS: Guru dan murid yang baru memulakan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Muda Pakeri di Kampung Paloh di sini cemas, apabila salah sebuah bilik asramanya terbakar pada pagi Khamis.
Bilik yang menempatkan asrama murid lelaki itu merupakan antara empat bilik yang ada di blok asrama sekolah berkenaan yang mempunyai 35 penghuni.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 7.29 pagi dan terus mengaktifkan kenderaan utiliti dan bot alumunium ke lokasi kejadian, yang terletak sekitar 73 kilometer menggunakan laluan darat dan air.
Pasukan tersebut hadir dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Manis.
“Pada masa yang sama, 30 anggota bomba komuniti turut diatur gerak dari kawasan berdekatan iaitu dari Kampung Berangan, Kampung Kedang dan Kampung Paloh sendiri," jelasnya.
Berdasarkan maklumat awal daripada guru besar sekolah tersebut, Hishamudin Ahmad Rani, kebakaran melibatkan satu blok asrama yang menempatkan dua asrama lelaki dan dua asrama perempuan.
“ Hanya satu bilik asrama yang musnah dan semua mangsa berjaya menyelamatkan diri," tambahnya.
Pasukan bomba komuniti telah menggunakan 22 unit alat pemadam api, dua aliran hos dengan sumber air daripada pili bomba dan pam angkut untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan lain.
Api berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 8.45 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Untuk rekod, SK Orang Kaya Muda Pakeri mempunyai 122 murid.
#kebakaran
#asrama sekolah
#Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Muda Pakeri
#Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Manis