Guru minta kerajaan semak semula KSSR
Shafizan Johari
Februari 19, 2013 07:09 MYT
Februari 19, 2013 07:09 MYT
Golongan guru muda berijazah berharap kerajaan akan menyemak semula rancangannya untuk melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Hasil tinjauan Astro AWANI, sebahagian kumpulan guru berdepan tekanan dalam melaksanakan KSSR berikutan beban kerja yang bertambah, termasuk proses memfailkan laporan KSSR yang menurut mereka, boleh mengurangkan masa untuk mereka bersama murid.
"Jangan anggap kami dapat menjayakan kedua-dua dasar kokurikulum dan kurikulum dengan sempurna, dengan beban tugas yang sebegini", jelas seorang guru graduan yang enggan diberi nama.
Beliau juga mengakui sistem Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah sudah cukup baik untuk melahirkan modal insan yang sempurna pada masa depan.
KSSR merupakan hasil transformasi kurikulum yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran sejak 2008, dengan fokus kepada usaha memperkasa kemahiran penaakulan, kreativiti dan inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) serta elemen keusahawanan, berbanding KBSR yang hanya memberi fokus kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Sementara itu, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan sedang melakukan sesuatu melalui Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 untuk mengurangkan beban tugas guru yang kini bertambah kerana kerja-kerja pentadbiran.
"BN sedar keadaan ini dan tahu ini situasi sebenar yang berlaku. Oleh itu, pendekatan yang lebih baik, tersusun dan sesuai dengan jiwa mereka (sebagai pendidik) sedang dan terus akan dilakukan," katanya yang juga merupakan seorang bekas guru.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata, beliau sedar mengenai beban kerja yang dihadapi oleh guru dan telah berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai keperluan menangani isu itu segera.
Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dalam kajian terbarunya mendedahkan sebahagian besar daripada 21 peratus pengundi berdaftar yang masih belum membuat pilihan parti mana yang akan mereka undi dalam PRU-13 nanti merupakan pengundi Melayu di kalangan penjawat awam dan guru.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan melihat angka yang besar itu mencerminkan tahap pendidikan golongan berkenaan yang semakin tinggi.
"Pendidikan yang tinggi menjadikan mereka bukan lagi pengundi tegar kepada mana-mana parti politik sebaliknya mereka mahu parti politik menawarkan sesuatu untuk mendapatkan undi.
"Dengan tahap pendidikan yang semakin meningkat, tahap kesetiaan kepada mana-mana parti tradisi semakin berkurang dan ini baik untuk demokrasi. Parti politik tidak lagi boleh bergantung kepada pengundi "setia" yang sebelum ini akan terus-menerus mengundi parti tersebut.
"Jadi (dalam PRU-13 nanti) parti-parti yang bertanding perlu menawarkan calon yang baik dan memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi pengundi, dan bukan lagi gula-gula untuk mendapatkan undi," kata Wan Saiful.
Kajian UMCEDEL itu dibuat selama dua minggu antara 26 Disember tahun lalu sehingga 11 Januari lepas, melibatkan 1,409 responden di seluruh Semenanjung Malaysia.
Laporan itu juga mendedahkan 43 peratus daripada responden menjangkakan Barisan Nasional akan mendapat mandat untuk membentuk kerajaan persekutuan manakala 37 peratus pula yakin kepada Pakatan Rakyat.
Laporan itu turut menjangkakan BN akan mengekalkan prestasi yang hampir sama dengan keputusan pilihanraya umum ke-12.