Guru mengaku tidak bersalah laku amang seksual terhadap pelajar

Abd Hadi Che Awang
September 27, 2020 05:25 MYT
Mohd Zarin perlu mematuhi beberapa syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan menghubungi mangsa melalui sebarang bentuk media serta tidak boleh mendekati mangsa dalam jarak 20 meter. - Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang guru sebuah sekolah menengah di Baling mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki sekitar bulan Mac dan Disember 2018.
Tertuduh, Mohd Zarin Amin Johari, 35 tahun, membuat pengakuan berkenaan selepas jurubahasa selesai membaca pertuduhan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun, di kuarters penginapan guru di Charok Nau, Baling, sekitar jam 3 pagi, 2 Mac 2018.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh di alamat yang sama, turut didakwa melakukan amang seksual ke atas mangsa pada jam 3.30 pagi, 3 Mac 2018 dan 2 petang, 13 Disember 2018.
Susulan itu, tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak- Kanak 2017.
Azman kemudian menetapkan 25 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga perlu mematuhi beberapa syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan menghubungi mangsa melalui sebarang bentuk media serta tidak boleh mendekati mangsa dalam jarak 20 meter.
Selain itu, tertuduh juga tidak boleh mendekati mana-mana saksi dan perlu menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah.
Hakim turut mengarahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan, sekali setiap bulan, bermula 27 Oktober depan sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Fakruzi Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Fadly Yaacob.
#guru #amang seksual #pelajar #pengakuan #Sungai Petani #Mahkamah Sesyen #kuarters guru #Charok Nau #Baling