Guru maut kereta terbabas masuk longkang di lebuh raya PLUS
Sinar Harian
Julai 29, 2023 17:52 MYT
Julai 29, 2023 17:52 MYT
IPOH: Seorang guru maut selepas kereta dipandu suaminya terbabas di Kilometer 282.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan dekat Simpang Pulai di sini pada Sabtu.
Nahas sekitar jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Nor Zafirah Abdullah, 33, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Sri Skudai, Johor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam Kejadian itu, suami mangsa berusia 34 tahun dan anak lelakinya berusia dua tahun dilaporkan cedera ringan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai diatur gerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
"Setibanya di lokasi didapati sebuah kereta jenis Toyota Vios terbabas di bahu jalan dan masuk ke dalam longkang.
"Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk dijalankan dengan menggunakan peralatan menyelamat," katanya di sini.
Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Mangsa yang cedera pula dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Operasi tamat pada jam 1.34 petang," katanya. -- Sinar Harian