Guru maut kereta bertembung pacuan empat roda KKM

Radhi Muslim
April 5, 2022 21:25 MYT
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Nurul Izzah Fatinah Ismail, 31, yang memandu Perodua Kenari meninggal dunia di lokasi kemalangan. - Gambar/ JBPM
KINABATANGAN: Seorang guru wanita terkorban selepas kenderaan dipandu bertembung dengan pacuan empat roda Kementerian Kesihatan (KKM) berdekatan Kampung Perpaduan, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Nurul Izzah Fatinah Ismail, 31, yang memandu Perodua Kenari meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.07 petang, sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, seorang wanita didapati tersepit dalam Perodua Kenari sebelum dikeluarkan anggota bomba.
“Bagaimanapun pasukan perubatan kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Seorang lelaki berusia 53 tahun yang menaiki pacuan empat roda pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
#kemalangan maut #Kinabatangan #guru maut #KKM
;