Guru liwat pelajar di Sarawak, lebih ramai mangsa dijangka tampil - Polis

Rudi Affendi Khalik
Mei 20, 2019 17:54 MYT
Suspek (tengah) ketika diiringi polis di hadapan Balai Polis Karamunsing pada Sabtu. - Ihsan PDRM
Lebih banyak mangsa dijangka tampil berhubung kes liwat membabitkan seorang guru di Long Semadoh di sini, kata Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad.
Menurutnya, mereka dijangka hadir membantu siasatan dalam jangka masa terdekat.
"Setakat ini, polis Lawas telah membuka empat kertas siasatan, dengan siasatan awal mendedahkan suspek telah melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap beberapa murid di sekolah berkenaan dalam masa yang berlainan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kata Abang Zainal, kes yang sama turut disiasat oleh Polis Kota Kinabalu selepas seorang lagi mangsa, juga dari sekolah yang sama membuat aduan telah dicabul dan diliwat suspek.
BACA: Dipercayai liwat 5 pelajar, guru di Sarawak ditahan
BACA: Warden asrama tahfiz direman, mengaku liwat dua pelajar dan cabul tiga pelajar lain
"Suspek dikatakan telah membawa mangsa menyewa sebuah apartmen di Kota Kinabalu untuk melampiaskan nafsunya, sebelum dia ditangkap di Balai Polis Karamunsing pada Sabtu.
"Mangsa kemudian menghubungi keluarganya, yang kemudian tampil membuat laporan polis," katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan seks di luar tabii.
Suspek yang berusia 31 tahun dijangka disambung reman, setelah perintah reman kes pertama tamat pada Selasa.
Pada Sabtu, polis menahan guru sekolah menengah yang berasal dari Kulai, Johor itu setelah menerima aduan oleh guru kaunseling sekolah tempatnya mengajar berhubung perbuatannya meliwat sekurang-kurangnya lima pelajar sekolah berkenaan.
Kesemua mangsa adalah kanak-kanak lelaki berusia di antara 13 hingga 15 tahun, dengan dua daripadanya telah menjadi mangsa sejak dua tahun lalu.
Suspek mula mengajar di sekolah berkenaan sejak Januari 2012.
#Balai Polis Karamunsing #cabul pelajar #liwat pelajar #Long Semadoh #Polis Daerah Lawas #Polis Kota Kinabalu #seks di luar tabii
;