Guru lemas di Sungai Golok pernah dikaunseling - Pengarah JPN Kelantan
Bernama
Februari 29, 2016 19:57 MYT
Februari 29, 2016 19:57 MYT
Seorang guru yang ditemui mati lemas di sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas semalam pernah dirujuk ke Unit Psikologi dan Kaunseling (UPsK) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai.
Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Datuk Ab Aziz Abdullah berkata mangsa dilaporkan mempunyai masalah disiplin sejak 2011 kerana mempunyai masalah keluarga dan sering tidak hadir ke sekolah.
"Mangsa juga dikatakan sering membawa masalah peribadinya ke sekolah," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tawang di sini, hari ini.
Semalam, mayat seorang warga Malaysia dengan kesan kecederaan di muka ditemui terapung di Sungai Golok di Pengkalan Jambu, Narathiwat, Thailand.
Menurut Timbalan Ketua Polis Sungai Golok, Lt Wae Alif Wae Desa, mangsa dikenali sebagai Azami Mohamed, 38, dari Kampung Pasir Kelang Baru, Kuala Krai, Kelantan.
Mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian sempena sambutan Hari Cowboy Malaysia-Thai yang diadakan di Sungai Golok malam semalam, menurut Wae Alif.
Mengulas lanjut, Ab Aziz berkata menurut semakan yang dilakukannya, guru itu tidak melakukan permohonan untuk ke luar negara sebelum ini.
"Kebiasaanya penjawat awam perlu mengikuti peraturan sedia ada untuk menyeberangi sempadan Malaysia, sebaliknya mangsa tidak melakukan perkara itu.
"Selain itu, permohonan tersebut mestilah mendapat kelulusan agar ia dapat menjadi rujukan jika perkara tidak diingini berlaku," katanya.
#Azami Mohamed
#guru bermasalah
#guru elmas di Sungai Golok
#Pengarah JPN Ab Aziz Abdullah
#warga Malaysia ditemui terapung