Guru lelaki ditemukan lemas ketika jala udang

Adie Sufian Zulkefli
Januari 31, 2023 20:31 MYT
Seorang guru lelaki berusia 41 tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke sungai di Kampung Batu 6, dekat Jalan Sanglang, Kubang Pasu, Kedah, pada Selasa. - Gambar ihsan JBPM
KUBANG PASU: Seorang guru lelaki berusia 41 tahun ditemukan lemas selepas terjatuh ke sungai di Kampung Batu 6, dekat Jalan Sanglang, di sini, pada Selasa.
Pengarah Bomba Negeri Kedah, Sayani Saidin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.59 petang.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari BBP Jitra dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di lokasi anggota penyelamat bertindak melakukan pencarian di permukaan air.
“Ketika kejadian mangsa bersama rakanya sedang menjala udang bagaimanapun, mangsa turun ke dalam sungai selepas jala tersangkut .
“Mayat Khairul Azuwar Muhammad Saud, 41, ditemui jam 5.39 petang tidak jauh dari lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Menurut Sayani, mayat mangsa kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.
#guru lelaki lemas #jala udang #jatuh sungai #Jalan Sanglang
;