Guru lelaki didakwa raba murid
Sinar Harian
Julai 30, 2024 15:50 MYT
Julai 30, 2024 15:50 MYT
MELAKA: Seorang guru di sebuah madrasah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap muridnya, April lalu.
Tertuduh, Muhammad Fakhrurrazi Abdul Rasid, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dari belakang dan memegang punggung seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 12 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Madrasah Baroqah Darul Quran Centre Taman Puncak Bukit Katil di sini, antara jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi 21 April lalu.
Pendakwaan bagi kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama, sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh namun mencadangkan jaminan RM20,000 jika mahkamah menggunakan budi bicara.
Sementara itu, tertuduh diwakili Peguam Mohamed Musthafa merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya berasal daripada keluarga susah selain telah berkeluarga dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mana-mana saksi pendakwaan dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 30 Ogos depan sebagai tarikh serahan dokumen.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian