Guru kempunan tidak dapat lembu korban, rugi RM2,900

Sinar Harian
Jun 18, 2024 10:40 MYT
Hajat seorang guru wanita melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian apabila lembu yang ditempah rupanya tidak wujud. - Gambar hiasan/BERNAMA
JEMPOL: Hajat seorang guru wanita di sini melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tidak kesampaian apabila lembu yang ditempah pada minggu lalu dengan harga RM2,900 rupanya tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Jempol,Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian bermula pada 12 Jun lalu kira-kira jam 8.20 malam semasa guru berusia 39 tahun itu melayari laman sosial untuk mencari lembu korban.
"Pengadu kemudiannya telah berhubung melalui aplikasi WhatsApp dengan seorang lelaki yang mendakwa sebagai penjual lembu dikenali sebagai Anis di talian 011-53603701.
"Pengadu berminat lalu berbincang mengenai harga lembu berkenaan, sebelum dia membuat pembayaran secara dalam talian berjumlah RM2,900 ke dalam akaun bank atas nama Muhamad Fazlee Harun pada Ahad lalu jam 9.36 malam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, setelah membuat pembayaran Anis berjanji akan menghantar lembu terbabit di masjid, namun apabila tiba Hari Raya Aidiladha (Isnin) lembu tiada di tempat yang dijanjikan.
"Pengadu telah bertanya kepada penduduk kampung dan mereka memberitahu nombor telefon terbabit bukan nombor telefon penama Anis. Pengadu rasa diri ditipu lalu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
"Hasil siasatan lanjut dapati pengadu telah terperdaya dalam urusan jual beli lembu, di mana pengadu melihat dan mencari lembu untuk dikorbankan di laman sosial serta berurusan melalui pesanan WhatsApp sebelum diminta untuk membuat transaksi bagi proses pembelian tersebut,"katanya.
Chang Hook berkata, mangsa telah membuat laporan polis pada Isnin jam 6.12 petang dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian
#Lembu Korban #media sosial #hari raya aidiladha #Hoo Chang Hook
;