Guru 'kantoi' tayang senapang angin, bila takut disorok pula

Ruzaini Zulkepli
Februari 24, 2018 10:55 MYT
Senapang angin yang berjaya dirampas polis. - Astro AWANI
'Kantoi' foto memburu burung tersebar di Facebook, seorang guru terpaksa menanggung padah apabila dia ditahan polis selepas didapati memiliki selaras senapang angin tanpa lesen.
Dalam kejadian jam 1.10 pagi Sabtu, suspek berusia 33 tahun itu dicekup di rumahnya di Kampung Tamalang, dekat sini sebelum polis berjaya menemukan senjata yang disorokkan di kawasan semak berhampiran lokasi tangkapan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Mohd Zaidi Abdullah berkata, kes itu terbongkar selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai susulan foto suspek yang menunjukkan aksi memegang senapang angin sambil berdiri di sebuah kenderaan tersebar di Facebook.
Antara laman Facebook yang menyebarkan foto tersebut ialah NGO pencinta haiwan "1StopBorneo Wildlife".
"Berdasarkan maklumat yang ditularkan di laman sosial berkenaan, sepasukan anggota polis kemudiannya melakukan serbuan di Kampung Tamalang dan berjaya menahan suspek yang juga seorang guru itu.
"Bertindak dengan tunjuk arah suspek, kita menemukan sebuah karung guni yang berisi selaras senapang angin yang disimpan lelaki itu di kawasan semak bersebelahan pokok pisang tepi rumahnya," katanya, ketika dihubungi.
Jelas Mohd Zaidi, polis turut merampas beberapa peralatan seperti beberapa kelengkapan senjata termasuk dua set kelopak mengandungi peluru pelet dan satu set kelopak kosong.
Menurut beliau, siasatan awal mendedahkan suspek membeli senjata tersebut secara berperingkat mengikut komponen, termasuk peluru, melalui pembelian atas talian dari China dan memasangnya sendiri berdasarkan buku panduan yang diberi.
Mohd Zaidi menambah, suspek kini ditahan dan dibawa untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana "memiliki senjata dan amunisi tanpa lesen atau permit".
#1Stop Borneo Wildlife #Facebook #Kampung Tamalang #Kota Belud #memburu #senapang angin #senjata tanpa lesen #senjata tanpa permit #Tular