Guru Kafa didakwa hempas murid hingga patah kaki

Nur Fazlizai Ali
Oktober 12, 2022 12:00 MYT
Tertuduh ketika tiba di Mahkamah Majistret Marang. - Astro AWANI
MARANG: Seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap muridnya sehingga patah tulang kaki kanan.
Bagaimanapun tertuduh, Ahmad Mursyidin Abdullah, 37, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap mangsa yang berusia sembilan tahun dengan menyebabkannya patah tulang di bahagian kaki kanan.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengangkat dan menghempasnya di atas sebuah kerusi kayu.
Kesalahan itu dilakukan pada 6 Julai lalu di dalam kelas sebuah sekolah kebangsaan di Marang pada jam 4.15 petang.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dan menetapkan 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Selain itu mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tidak boleh menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan serta tidak boleh terbabit dengan jenayah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee manakala tertuduh diwakili peguam, Abdul Hayyi Salim.
BACA: Guru Kafa ditahan bantu siasatan murid dakwa patah kaki selepas dihempas
Terdahulu Astro AWANI melaporkan murid lelaki patah kaki kanan selepas didakwa dihempas seorang guru Kafa dalam kejadian di sebuah sekolah di daerah Marang.
#guru KAFA #hempas murid #cedera parah #patah tulang
;